‘Selesai dulu masalah bekalan air sebelum buru pengguna culas bayar bil’

notis-JANS.jpg

Notis amaran tindakan undang-undang terhadap pengguna memiliki tunggakan bil air yang dimuat naik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) di Facebook. - FB JANS/BHarian

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diminta supaya menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini terlebih dahulu, sebelum menumpukan usaha memburu pengguna yang culas membayar bil air.

Perkara itu antara maklum balas paling banyak disuarakan netizen selepas JANS memuat naik notis amaran tindakan undang-undang terhadap pengguna yang memiliki tunggakan bil air di laman Facebook rasminya, semalam.

Pengunjung laman Facebook JANS bagaimanapun tidak dapat memberi komen terhadap notis itu di laman berkenaan kerana tidak disediakan ruangan komen, namun boleh dikongsi oleh pengguna laman sosial.

“Adalah dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Air Negeri Sabah akan melaksanakan tindakan perundangan dengan membuat tuntutan sivil di mahkamah kepada semua pengguna berdaftar yang mempunyai tunggakan bil air dan berhutang dengan jabatan ini selaras dengan Seksyen 28 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003, Hutang Yang Terhutang.

“Semua air yang dikenakan caj hendaklah dibayar dalam masa 14 hari daripada tarikh penyampaian bil air kepada Pihak Berkuasa Air Negeri. Kegagalan membayar bil itu hendaklah disifatkan sebagai hutang yang kena dibayar kepada Pihak Berkuasa Air Negeri.

“Oleh yang demikian, anda dinasihatkan untuk membuat semakan bil air dan menjelaskan bil air anda bagi mengelakkan tindakan perundangan diambil ke atas anda,” kata notis berkenaan.

Notis itu kemudian dikongsi laman Facebook Sabah Info yang menyediakan ruangan komen di mana netizen mengambil peluang untuk memberikan maklum balas, sebelum tular dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.

Perkongsian di laman Facebook itu mendapat lebih 1,000 komen setakat pagi ini, dengan majoritinya menyatakan tindakan JANS itu tidak wajar ketika masalah gangguan bekalan air masih membebankan pengguna.

Ada antaranya mempersoalkan mengapa tunggakan bil yang lebih diutamakan pihak JANS sedangkan bekalan air hanya sampai sekali-sekala di rumah mereka.

“Tunggakan pula dipeduli..memang tertunggaklah kalau air seminggu tiga atau dua kali saja masuk rumah, lepas itu (air) buka malam, esok awal pagi mati..elok tidak payah bayar langsung, buat sakit hati orang saja, lepas itu minta bil tunggakan ‘settle’,” kata seorang pengguna Facebook dengan nama Nursyawlliah. –Bharian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top