KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, yang juga ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya berkata beliau telah menghadap Lembaga Disiplin UMNO dan kini menunggu keputusan rasmi lembaga itu.
“Saya seorang daripada ADUN UMNO Sabah yang dipanggil Lembaga Disiplin untuk membuat pembelaan atas pertuduhan yang telah dinyatakan.
“Kini terserah kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk membuat keputusan, jadi kita tunggulah,” kata Timbalan Ketua Menteri itu selepas Karnival Perpaduan Perumahan Daerah Putatan dan Karnival Perpaduan Komuniti Gerak Rahmah, Jom Sihat Daerah Putatan, di sini hari ini.
Shahelmey merupakan salah seorang daripada lima ADUN UMNO yang tidak mengikut langkah UMNO Sabah menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan beliau.
Empat ADUN yang lain ialah Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin).
Keempat-empat ADUN itu baru-baru ini telah mengumumkan tindakan mereka keluar UMNO. Mereka turut disertai ADUN Balung, Datuk Hamid Awang (Balung).
Mengulas mengenai perkara itu, Shahelmey berkata tindakan itu adalah hak masing-masing namun, keputusan itu dibuat atas kesedaran bahawa kepentingan serta kestabilan politik di Sabah perlu diperkukuhkan.
Katanya lagi, politik yang stabil penting agar pentadbiran negeri dan agenda pembangunan negeri sepertimana Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dijayakan.
Sumber: SABAHitz On9 TV