Selepas Sarawak, pemimpin Sabah pula gesa pendaftaran PADU dihentikan

padu.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan meminta Kementerian Ekonomi menghentikan sementara pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) dan membuat penilaian semula terhadap pelaksanaan program berkenaan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata beliau mengambil berat gesaan Kerajaan Persekutuan untuk pendaftaran menyeluruh sistem PADU, terutama apabila maklumat peribadi menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

Jeffrey juga berkata, beliau kurang selesa dengan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung isu pendaftaran PADU yang dilihat seolah-olah memaksa orang ramai.

Dr Jeffrey

“Sehubungan itu, saya menggesa agar beliau menghentikan sementara (pendaftaran PADU) dan buat penilaian semula strategi,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh BHarian semalam, yang memetik kenyataan veteran politik Sabah itu.

Dalam kenyataan yang sama Jeffrey menyifatkan pendaftaran PADU selama empat bulan yang menyasar kira-kira 20 juta rakyat, bukan saja sesuatu yang membimbangkan, malah membingungkan.

“Apa alasan di sebalik pendaftaran yang dibuat secara tergesa-gesa ini? Adakah ia tidak mendedahkan sistem ini kepada kesan terhadap keselamatan dan ketepatan data?

“Bagaimana persiapan kerajaan untuk memastikan data akan diurus dan dilindungi dengan selamat dalam situasi terlalu banyak data peribadi dimasukkan dalam sistem dengan masa yang singkat?

“Pastinya banyak kaedah dan pendekatan secara berfasa yang lebih berhemah. Lagipun, lebih 65 peratus rakyat Malaysia belum mendaftar, ia menunjukkan bahawa ada isu kepercayaan atau kelemahan,” katanya.

Jeffrey berkata, keadaan itu mungkin kerana gangguan terhadap data yang diperlukan PADU, antaranya mengenai apa keperluan kerajaan untuk mengambil tahu jumlah wang yang dihutang rakyat dan bagaimana ia relevan dengan kelayakan mendapatkan subsidi.

Selain itu, katanya banyak soalan berkaitan seperti siapa yang membangunkan PADU, bagaimana ia melindungi data dan apa akan terjadi jika berlaku kebocoran data.

“Sebagai negara kelapan di dunia yang paling banyak ‘pelanggaran’ data, saya fikir PADU adalah perkara terakhir yang kerajaan perlu perkenalkan pada masa ini.

“Sejarah menunjukkan tiada sistem data yang tidak dapat ditembusi, malah pangkalan data peribadi Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat baru-baru ini digodam,” katanya, sebagaimana dipetik oleh BHarian.

Berikutan itu, katanya beliau bersetuju dengan pandangan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengatakan tiada beza di antara PADU dengan sistem sedia ada seperti e-Kasih atau Skim Tunai Rahmah.

Katanya, beliau tidak melihat keperluan untuk PADU atau bagaimana ia menentukan kutipan data peribadi secara meluas melangkaui kebiasaan yang diperlukan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau sistem kebajikan.

“Tugas kerajaan ialah untuk melayan rakyatnya, bukan untuk mendalami perkara yang tidak perlu dalam kehidupan peribadi mereka. Perlindungan privasi individu mesti seimbang dengan manfaat kutipan data,” katanya.

Jeffrey berkata, jika kerajaan tetap mahu meneruskan pendaftaran PADU, beliau mencadangkan agar platform yang digunakan diubah suai dan ditambah baik tanpa menimbulkan kebimbangan rakyat.

Katanya, kerajaan tidak perlu mengugut rakyat dengan mengatakan jika mereka tidak mendaftar, mereka tidak akan mendapat subsidi kerana taktik berkenaan tidak dapat meyakinkan orang ramai untuk memberikan kerjasama.

“Secara peribadi saya mencadangkan PADU menggunakan pangkalan data yang mereka sudah ada, bantu rakyat untuk mengurangkan kebimbangan privasi mereka dan lebih penting jangan bebankan rakyat,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top