SANDAKAN: Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan serta polis sehingga semalam masih tidak putus asa untuk menyelamatkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman dengan memujuknya turun dari bumbung sebuah blok bangunan rumah pangsa empat tingkat.
Kejadian yang bermula sejak Isnin lalu mengundang cemas penduduk apabila lelaki berusia 39 tahun berkenaan tidak mengendahkan pujukan supaya dia turun dari bumbung dengan selamat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan kejadian dipercayai berlaku kira-kira 8.45 malam Isnin, namun BBP Sandakan menerima panggilan kecemasan pada 10.58 malam hari sama.
“Proses memujuk lelaki itu oleh pasukan penyelamat dengan dibantu keluarganya sedang giat dijalankan. Maklumat berkaitan akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Difahamkan lebih 30 anggota bomba serta 12 pegawai dan anggota polis berada di tempat kejadian untuk membantu menyelamatkan lelaki itu.
Tinjauan Bernama di perumahan terbabit mendapati lelaki itu dilihat berzikir, melaungkan azan serta membuat pergerakan solat di atas bumbung itu.
Sumber: BERNAMA