KOTA KINABALU: Ketua Penerangan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progesif Bersatu (UPKO), Albert Bingkasan meletak jawatan daripada parti berkuatkuasa serta-merta.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok itu menyerahkan surat peletakan jawatan pada 12 Januari lalu.
Beliau berkata, surat perletakan jawatan itu diserahkan kepada Setiausaha Agung parti, Nelson W.Angang dan salinan diserahkan kepada Presiden Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Timbalan Presiden Senator Datuk Donald Mojuntin.
Katanya, Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN Sabah) pada September 2020 adalah antara titik hitam dalam kembaranya di arena politik sejak 20 tahun lalu.
“Saya telah memikul tugasan dan melakukan sehabis baik dan yang termampu sebagai ketua penerangan namun nyatanya titik peluh itu gagal membantu parti. UPKO kalah 11 daripada 12 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi.
“Justeru, atas rasa rendah hati saya mengundur diri untuk memberikan ruang dan peluang kepada pemimpin lain merajui bahagian penerangan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Albert berkata, perletakan jawatan itu tidak diumumkan tiga bulan lalu kerana beliau masih meletak kepercayaan terhadap UPKO dan beliau masih kekal sebagai ahli UPKO.
Katanya, beliau sedar dan tahu rakyat Sabah amat dahagakan pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mempertingkatkan lagi tahap ekonomi Sabah agar lebih mantap serta berdaya saing.
“Wajib juga aspek sosio-budaya kita dipulihara, diperkasa dan dimartabatkan. Kita juga harus menuntut penyelesaian tuntas terhadap masalah pendatang tanpa izin (PTI). Banyak lagi perkara lain yang mesti diperjuangkan.
“Apa langkah saya selepas ini? Tidak keterlaluan kiranya saya berkata diri ini wajar mencipta dan menikmati istirehat yang secukupnya setelah dua dekad berkecimpung dalam hitam putih dunia politik,” ujarnya.
Sejak 2001 hingga 2020, Albert juga pernah memegang beberapa jawatan dalam kerajaan termasuk Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok; Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; dan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perindustrian and Perdagangan Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Di dalam UPKO, Albert pernah menjadi Pegawai Penerangan di Ibu Pejabat UPKO, Ketua Penerangan EXCO Pemuda UPKO dan Timbalan Ketua Bahagian UPKO Sepanggar.
-Sumber: BORNEO TODAY