Sektor Koperasi Sabah Catat Perolehan RM470.8 Juta Tahun Lepas – KM

hari-koperasi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sektor koperasi di Sabah mencatatkan jumlah perolehan RM470.8 juta setakat 31 Dis tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata jumlah perolehan itu melibatkan sebanyak 1,652 koperasi yang beroperasi di Sabah, dengan keahlian seramai 339,000 berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Hajiji berkata ia turut melibatkan kekuatan aset sebanyak RM887.1 juta, selain pemilikan saham dan yuran RM218.6 juta, yang membuktikan gerakan koperasi mampu memacu pembangunan ekonomi negeri dengan lebih mampan.

“Sabah adalah negeri yang kaya dengan sumber asli. Justeru, koperasi di negeri ini seharusnya bijak memanfaatkannya dalam menjalankan aktiviti pengeluaran atau perkhidmatan yang boleh memberi pulangan yang lumayan.

“Gerakan koperasi di Sabah juga perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan arus perubahan bagi menghadapi segala cabaran dalam persekitaran perniagaan terutama selepas pandemik Covid-19,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Koperasi Negara peringkat negeri di sini pada hari Ahad (5 Jun).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata, kelonggaran pelaksanaan prosedur operasi standard ketika ini diyakini mampu memulihkan ekonomi dan sudah tentu memberi kelegaan kepada gerakan koperasi khususnya yang menjalankan aktiviti pelancongan selepas dilanda pandemik itu.

Beliau juga mahu sektor koperasi negeri merebut peluang ekonomi sedia ada serta meningkatkan daya saing ke arah transformasi negeri, selain pengurusan koperasi merancang dan menilai pelaburan bersesuaian yang boleh mendatangkan pulangan kepada ahli.

“Saya yakin sektor koperasi di negeri ini mampu berkembang dan bergerak seiring dengan sektor perniagaan lain jika ia diurus dengan cekap, telus dan profesional,” kata ketua menteri.

Beliau berkata kerjasama strategik antara SKM dan agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Kemajuan Perindustrian dan Penyelidikan digalakkan kerana usaha itu selaras dengan objektif Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) (2021-2025).

Gerakan koperasi di Malaysia bermula pada tahun 1922, dan tahun ini menandakan ulang tahun ke-100 penubuhan SKM.

Perkembangan sektor koperasi di Sabah bermula pada tahun 1956 dan masih terdapat satu yang aktif sehingga kini iaitu Koperasi Green Bhd.

Pada majlis itu, sebanyak lapan koperasi di Sabah menerima anugerah koperasi terbaik dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai, sijil dan plak.

 

Sumber: The Edge Markets

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top