KOTA BELUD: Kerajaan Negeri yakin sektor koperasi di Sabah mampu bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, aktiviti komersil sektor koperasi mempunyai potensi besar untuk diperluaskan lagi ke peringkat antarabangsa dengan wujudnya model perniagaan yang pragmatik dan rantaian pembekalan yang kukuh serta strategi pembangunan industri tani yang relevan.
“Sektor koperasi di negeri ini perlu terus menggalakkan anggota-anggotanya untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran serta menjana rangka/model perniagaan yang pragmatik.
“Ini seperti yang dilaksanakan melalui Hab E-Transformasi Kaki-Kaki Kampung untuk merebut peluang memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di pasaran serantau dan antarabangsa, terutamanya di dalam pasaran hasil-tani yang telah ditambah nilai,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Hab E-Transformasi Kaki Kaki Kampung di Kampung Taginambur, di sini hari ini.
Beliau berharap agar gerakan koperasi di Sabah yang dipimpin Pengurusan tertinggi di SKM dapat terus memperkasa dan mempertingkatkan keupayaan sektor koperasi seiring dengan agenda pelan pembangunan ekonomi Sabah Maju Jaya.
“Saya yakin dan percaya gerakan koperasi akan terus menjadi tonggak penting bagi memakmurkan ekonomi dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat,” katanya.