KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyeru sektor awam dan swasta di negeri ini supaya memanfaatkan hubungan ekonomi yang kukuh dengan China dan Asean.
Katanya, langkah itu penting untuk memupuk sinergi ekonomi dalam membentuk kerjasama serantau dan pembangunan ekonomi masa hadapan.
Beliau berkata China adalah rakan dagang terbesar Sabah yang mencatatkan nilai perdagangan dua hala keseluruhannya RM10.7 bilion tahun lepas.
“Pada 2023, jumlah perdagangan Sabah bernilai RM41.463 bilion, dengan eksport utama terdiri daripada minyak sawit RM15.291 bilion, gas asli cecair (LNG) RM5.051 bilion, petroleum mentah RM2.548 bilion, minyak kernel sawit RM1.289 bilion, dan minyak sawit berasaskan oleokimia bernilai RM1.123 bilion.
“Daripada jumlah itu, perdagangan dua hala Sabah dengan China berjumlah RM10.654 bilion, menjadikannya rakan dagangan terbesar negeri ini,” katanya pada Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024: Siri Penglibatan Rangkaian di Sabah di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Hajiji berkata, hubungan ekonomi Sabah dengan China didorong oleh pelbagai sektor penting antaranya perdagangan, pelaburan dan projek kerjasama yang kukuh.
Bagi sektor pembuatan katanya, Sabah setakat ini menerima RM3.07 bilion pelaburan dari China yang mewujudkan 3,086 pekerjaan.
Pelaburan itu, katanya, melibatkan pembuatan kaca solar, silika dan pemprosesan, pembuatan makanan, produk getah, produk berasaskan kayu, dan produk plastik.
Selain itu, Hajiji juga menekankan sektor minyak sawit antara salah satu tunjang ekonomi Sabah.
Katanya, sebagai pengeluar minyak sawit terkemuka di Malaysia, Sabah memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan global bagi komoditi yang pelbagai ini.
“Sabah menyumbang 24 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia pada 4.5 juta tan, sekali gus menjadi penyumbang penting negara.
“Ia menunjukkan kepimpinan negeri dalam memacu dan memainkan peranan penting meningkatkan perdagangan dan pelaburan Sabah untuk komoditi penting ini.
“Selaras dengan piawaian alam sekitar global, 80 peratus ladang kelapa sawit di Sabah mencapai Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) setakat tahun lepas,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau berkata, terdapat banyak peluang untuk pelabur dari China dan ASEAN dalam teknologi hijau, pertanian berteknologi tinggi, dan pembangunan bercampur.
Pihaknya turut menyeru para pelabur China untuk meneroka konsep Ekonomi Biru negeri ini yang melibatkan penggunaan sumber laut secara mampan untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan pekerjaan.
“Sabah juga berharap untuk meningkatkan kerjasama dengan China dalam tenaga hijau, pembuatan, pertanian berteknologi tinggi, dan pembinaan bandar pintar, bagi menggalakkan manfaat bersama dan perkongsian secara ‘menang-menang’.
“Walaupun minyak dan gas kekal sebagai sumber pendapatan penting untuk Sabah, kami mengalu-alukan pelabur untuk meneroka teknologi solar dan penyimpanan, hidro, geoterma dan peluang pasaran karbon,” katanya.
Hajiji berkata, China adalah sumber pelancong asing ke Sabah yang terbesar melibatkan jumlah 135,855 orang daripada 396,564 ketibaan antarabangsa untuk empat bulan pertama tahun ini adalah dari China.
Sehubungan itu, beliau percaya Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 bukan sahaja menjadi platform penting untuk mengukuhkan perdagangan dan pelaburan dua hala, tetapi juga peluang terbaik untuk menyerlahkan dan membangunkan lagi sektor pelancongan Sabah yang berkembang maju.
Hajiji berkata, sidang kemuncak itu juga menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dengan China, yang jatuh pada 31 Mei 2024.
“Kedua-dua negara kita mempunyai sejarah panjang hubungan dua hala yang baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kita mengalami kemajuan yang luar biasa dalam pertukaran dan kerjasama pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, budaya, dan pelancongan.
“Sabah menyokong inisiatif ini sebagai platform untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan berkongsi kemakmuran untuk merangkumi ASEAN, sekali gus mengukuhkan integrasi ekonomi serantau,” jelasnya.
Sumber: Utusan Borneo