Sekolah ‘Wheelie’ Digempur, 81 Saman Dikeluarkan

sekolah-wheelie.jpg
Kongsi Bersama

PASIR GUDANG: Lokasi dikenali dengan nama ‘sekolah wheelie’ dalam kalangan mat rempit di Taman Kota Masai di sini digempur menerusi Ops Khas Motosikal sempena Op Selamat 18, pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, dalam operasi itu sebanyak 105 buah motosikal diperiksa dan kesalahan utama membabitkan tidak memakai topi keledar.

“Sebanyak 81 saman dikeluarkan dalam operasi tersebut. Berdasarkan statistik Op Selamat 18 Hari Raya Aidilfitri 2022, penunggang motosikal merupakan kategori paling tinggi menyumbang kepada jumlah kemalangan maut.

“Oleh itu, JSPT Johor terpaksa mengambil pendekatan agresif ‘policing’ dengan konsep ‘total enforcement’ terhadap golongan ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, lokasi berkenaan kembali menjadi tumpuan mat rempit selepas insiden kemalangan maut melibatkan empat remaja, seminggu sebelum sambutan Aidilfitri lalu.

Selain itu pihaknya mengingatkan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal untuk terus patuh pada peraturan dan undang-undang, tidak pentingkan diri, kawal emosi dan sentiasa bersabar dengan situasi semasa.

“Mereka juga diingatkan agar tidak membuat sebarang provokasi yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain, ini kerana faktor kecuaian merupakan penyumbang utama kepada kecelakaan jalan raya,” katanya. – AWANI

Foto: Sinar Harian


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top