Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih beroperasi di Sabah hari ini

KP-pendidikan.jpg

Datuk Pkharuddin Ghazali

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) mula beroperasi hari ini (Isnin) di negeri ini sebagai antara usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memberi pendidikan sama rata kepada semua rakyat di negara ini khususnya golongan miskin.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata program yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan dekat sini, pertama kali diperluas di Sabah dengan lapan pelajar didaftarkan setakat ini.

Beliau berkata program itu memainkan peranan untuk memastikan pendidikan inklusif yang berkualiti dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua, selain memastikan semua murid menamatkan persekolahan rendah dan menengah menjelang 2030.

“Kanak-kanak SBJK merupakan kanak-kanak warganegara Malaysia atau anak kepada seorang daripada ibu bapa berstatus warganegara Malaysia dalam kelompok seperti kanak-kanak yang tercicir berpanjangan daripada keluarga miskin tegar dan kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri.

“Selain itu melibatkan kanak-kanak jalanan dan terpinggir dan kanak-kanak yatim piatu yang tinggal di pusat kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di sini semalam.

Pkharuddin berkata sesi libat urus yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah telah mengenal pasti lapan murid warganegara yang tercicir berpanjangan daripada sistem persekolahan disebabkan kemiskinan, keluarga rentan, kelahiran tanpa sah taraf dan tanpa dokumen.

“Mereka (murid terpilih) hadir ke Pusat Aktiviti Kanak-kanak seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Am Sabah bagi belajar mengenal konsep asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira).

“SK Sembulan dipilih bagi melaksanakan Progam SBJK adalah disebabkan beberapa justifikasi seperti lokasi yang terletak berhampiran dengan kediaman lapan murid berkenaan,” katanya.

Menurut Pkharuddin program SBJK SK Sembulan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan kokurikulum sama seperti modul SBJK mengikut keperluan dan kesesuaian murid.

Beliau berkata SBJK yang pertama beroperasi adalah di Chow Kit, Kuala Lumpur yang dilaksanakan pada 2013, dengan menerima murid daripada peringkat prasekolah hingga menengah melibatkan kanak-kanak menghadapi masalah sosial, kanak-kanak tanpa dokumen, murid tercicir dan kanak-kanak yatim piatu. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top