PETALING JAYA : Tindakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertindak berkongsi semula video memaparkan seorang pemuda yang tidak dibenarkan merakam video ketika menerima suntikan vaksin di laman Twitter mencuit hati pengguna media sosial, semalam.
“Assalamualaikum,” tulisnya ringkas yang diulang kicau lebih 49,200 kali setakat pagi ini.
Rabu lalu, pemilik akaun bernama @winraffm yang dikenali sebagai Raff memuat naik satu klip video meluahkan rasa kecewa apabila hasratnya merakam momen tersebut dihalang seorang petugas di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Johor.
“Punyalah happening (ceria) jururawat layan siap bagi rakam. Datang seorang pegawai ini tutup kamera alasan KJ (Khairy Jamaluddin) sudah letak jawatan. Biadab. Nasib rakam memang untuk bagi keluarga saja,” ujarnya.
Bekas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu sebelum ini membenarkan orang ramai untuk merakam video atau gambar ketika menerima suntikan vaksinasi di mana-mana PPV.
Keputusan tersebut diambil bagi memastikan setiap penerima mempunyai bukti kukuh bahawa mereka sudah mendapat suntikan vaksin yang sempurna.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pemilihannya menyertai anggota Kabinet baharu sebagai Menteri Kesihatan.
“Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberi. Insya-Allah amanah yang sangat berat ini akan saya pikul dengan bersungguh demi Keluarga Malaysia,” tulisnya.