SEKALI KETUK: Tanah Untuk Pembangunan Bukan Diserah Milik

hiasan.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Musli Oli

Saya suka menasihati penyokong-penyokong kerajaan GRS supaya tidak terkeliru dengan isu penberian 177 geran tanah yang diputar belitkan oleh puak pembangkang.

Perlu diperjelaskan bahawa sejak Sabah bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia projek pembangunan telah dibahagi kepada projek pembangunan kendalian Kerajaan Persekutuan atau disebut Senarai Persekutuan atau ‘Federal List’. Satu lagi projek pembangunan dalam Senarai Kerajaan Negeri atau ‘State List’.

Antara projek dalam Federal List termasuk pembinaan jalan persekutuan, sekolah, hospital, klinik, balai polis, bomba, bangunan pejabat Persekutuan dan banyak lagi yang mendapat dana atau peruntukan kerajaan Persekutuan. Amalan biasa, kerajaan negeri Sabah akan menyediakan tanah untuk tapak projek jika tanah milik kerajaan negeri. Tetapi jika tapak tanah yang dikenal pasti adalah milik persendirian, kerajaan Persekutuan akan membayar harga tanah sebagai ganti rugi kepada pemilik. Di bawah Ordinan Tanah Negeri, kerajaan berhak mengambil tanah jika untuk tujuan pembangunan.

177 geran yang diberi kerajaan negeri yang diterajui GRS adalah untuk tujuan membina projek pembangunan yang termasuk dalam Senarai Persekutuan bukan untuk diserahkan kepada individu atau pemimpin Persekutuan sebagai hak peribadi membina banglo atau hotel. Jika kerajaan tidak menyerah geran lebih awal kerap berlaku kelewatan pelaksanaan projek pembangunan walaupun peruntukan telah diumum dalam bajet Persekutuan.

Penangguhan seperti itu kerap berlaku sehingga peruntukan diserah balik kepada Persekutuan. Ini amat merugikan rakyat Sabah sehingga pembangunan negeri agak jauh terkebelakang dan kita sebagai rakyat terus teringgal jauh dari arus perdana pembangunan.

Kepada semua penyokong GRS dan kepada sesiapa juga yang mampu berfikir, tolong beri penjelasan kepada rakyat tanpa perlu respons dengan dakyah puak-puak  yang tidak faham dan sengaja mencipta isu.

Penjelasan anda akan membantu menyegera dan melancarkan usaha-usaha pembangunan di negeri ini sedangkan melayan putar belit mereka hanya akan membawa Sabah terus-menerus melangkah ke belakang. Dan itulah agaknya yang mereka dambakan!

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top