Oleh: Musli Oli
1. Dalam satu wawancara kelmarin (video wawancara akan di kongsi petang ini. InsyAllah) antara lain saya sebut:- “Pemimpin yang lantang bercakap soal hak dan autonomi hari ini adalah orang yang sama melanggar hak-hak dan autonomi negeri Sabah ketika menjadi Menteri Persekutuan selama lebih 20 tahun!”
2. Kementeriannya telah diberi peruntukan yang begitu besar. Tetapi dia tidak pernah berbincang dengan kerajaan negeri cara melaksana peruntukan. Dia tidak menyalurkan peruntukan itu melalui agensi negeri. Sebaliknya menggunakan agensi Kerajaan Persekutuan seperti RISDA dan lain-lain agensi di bawah bidang kuasa kementeriannya.
3. Projek pembangunan daerah tidak disalur melalui pejabat daerah seperti amalan biasa kementerian Persekutuan sebelum dia menjadi Menteri Persekutuan. Akibatnya projek-projek daerah tidak dapat diselaraskan dan dipantau dengan baik. Oleh kerana kemampuan agensi mengendalikan projek agak terbatas, banyak projek pembangunan luar bandar tidak dapat dilaksana. Sejumlah besar peruntukan pembangunan terpaksa di pulangkan kepada kerajaan Persekutuan.
4. Saya masih ingat pada 2011 sejumlah RM64 juta peruntukan luar bandar telah tidak dapat dilaksana kerana kesuntukan masa. Semua tahu masalah permusuhan peribadi menteri itu dengan KM Sabah merupakan punca sebenar kenapa autonomi negeri tidak dihormati. Menteri Persekutuan lain biasanya akan membuat kunjungan hormat dan berbincang dengan KM Sabah untuk melaksana projek pembangunan Persekutuan.
5. Namun sikap ego, degil dan dendam yang tidak bertempat menyebabkan menteri dari Sabah itu enggan bertemu dengan Ketua Menteri Sabah. Jauh sekali berbincang mengenai projek yang bakal dilaksana. Yang rugi akibat ego dan dendamnya itu ialah rakyat luar bandar Sabah yang telah dinafikan pembangunan.
6. Persengketaan peribadi dan permusuhan silam tidak seharusnya jadi pertimbangan dalam perjuangan membela hak dan kepentingan rakyat. Pemimpin yang berjiwa besar akan mengenepikan sengketa peribadi dan dendam politik demi rakyat. Soal siapa benar dan siapa salah dalam politik tidak seharusnya jadi alasan untuk tidak berkerjasama demi kepentingan rakyat.
7. Jika Menteri Persekutuan itu tidak menghormati KM Sabah secara peribadi dia sepatutnya menghormati institusi “Ketua Menteri” dan hak-hak autonomi negeri Sabah. Hari ini pemimpin itu terus menyerang mantan KM Sabah walaupun mantan itu tidak lagi terpilih menjadi calon pilihan raya. Renung-renungkan….