SEKALI KETUK: PRN Johor Dan PRU 15 – Sokongan Moral Kepada Ismail Sabri

PM-prn-johor.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Musli Oli

1.Sekumpulan ahli akademik datang ke Restoran Pak Mus dan minta saya mengulas mengenai keputusan PRN Johor. Saya kata penyumbang utama ialah faktor sikap dan karakter kepimpinan politik dalam negara. Dulu ketika era Umno-BN berkuasa pemimpin diberi laluan mudah untuk menjadi Presiden parti dan seterusnya jawatan Perdana Menteri. Proses memilih bermula dari peringkat bawah, melalui pemilihan parti dan seterusnya di peringkat Majlis Tertinggi.

2. Tun Mahathir sebagai contoh menjadi Presiden parti Umno tanpa sebarang ”struggle”. Dia dapat jawatan di atas hamparan permaidani merah. Dia seterusnya dilantik secara automatik sebagai Perdana Menteri bila Tun Hussien umum persaraan. Tetapi sebaik sahaja berkuasa, pemimpin politik mula dihasut supaya bersengketa dan berebut kuasa. Saya tidak berhasrat untuk mengimbas sejarah kerana ramai telah tahu dan maklum sejarah yang berlaku kepada Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Ghaffar Baba, Anwar Ibrahim dan lain-lain.

3. Pemimpin yang saya sebut di atas merupakan pelapis kepimpinan Umno dan negara namun ia tidak berlaku kerana Tun Mahathir membawa ajaran Machiavelli dalam parti dan kerajaan. Pemimpin yang tersingkir seperti Musa Hitam dan Ghaffar Baba mengambil keputusan bersara dari politik tetapi Anwar dan Tengku Razaleigh serta beberapa orang lagi terus aktif hingga hari ini.

4. Saya tegaskan, yang mencipta pemimpin dan parti pembangkang di kalangan orang Melayu dan bumiputera di negara ini adalah Tun Mahathir. Sebut dengan saya satu parti pembangkang yang aktif hari ini bukan daripada perancangan atau angkara Tun Mahathir? Walaupun parti PAS telah tertubuh sebelum Tun Mahathir namun parti itu tidak tergolong sebagai parti pembangkang yang berpotensi mengancam kuasa politik orang Melayu berbanding dengan parti-parti lain seperti PKR, PPBM, Pejuang dan lain-lain seumpamanya.

5. Tun Mahathir telah melahirkan pemimpin-pemimpin politik pembangkang Melayu yang keras dan berjiwa kental. Pada satu ketika dia dapat satukan pemimpin-pemimpin pembangkang itu dalam sebuah kerajaan setelah BN kalah pada PRU14. Apa yang berlaku? Politik Machiavelli terus menjadi amalan sehingga dia sendiri  merancang kejatuhan kerajaannya semata-mata kerana dendamnya belum berakhir terhadap Anwar Ibrahim.

6. Dalam PRN Johor saya tidak melihat pilihan rakyat terbatas kepada parti politik. Saya percaya rakyat Johor juga melihat daripada perspektif kerajaan yang bertanggungjawab. Rakyat Johor diberi peluang memilih daripada tiga kerajaan yang pernah memerintah selepas PRU14. Kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir, kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri yang sedang memerintah. Siapakah pemimpin dan kerajaan yang lebih berwibawa? Rakyat Johor yang keluar mengundi telah memilih kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

7. Memilih BN bukan bermakna rakyat Johor mahu Bossku kembali dipersada kuasa seperti tanggapan ramai penyokongnya. Tidak juga bermakna pengundi Johor merestui Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi menjadi bakal Perdana Menteri selepas PRU15.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top