- Oleh: Musli Oli
1. Wajarkah saya rasa terkilan? Ya. Sedikit terkilan. Pada usia 60 tahun saya mula rasa tidak dihargai. Dulu di usia muda, tidak terlintas sama sekali semua ini di hati saya. Tetapi bila usia lanjut, fitrah manusia sentiasa ingin dihargai. Masa dulu ada juga terlintas mungkin saya akan diberi pingat BK atau lebih rendah dari itu seperti sijil penghargaan daripada kerajaan negeri. Pada saya itu sudah cukup besar maknanya kepada saya kerana sumbangan pun kecil sangat.
2. Tetapi barangkali sumbangan saya terlalu kecil tidak memadai untuk diberi sijil penghargaan atau BK. Maka saya sentiasa bersangka baik. Malah saya berkempen dan mencadang beberapa nama yang pernah mengharum nama Sabah untuk diberi penghargaan seperti Sium Diau, James Wong dan Hassan Sani.
3. Saya telah menulis beratus artikel dan lebih 30 buku berkisar isu politik, budaya dan masyarakat. Saya lahir di Kota Belud dalam negeri Sabah. Bukan di Tawi-Tawi atau Nunukan. Mungkin di Sabah penulis dan penganalisis politik bebas seperti saya masih tidak dipandang kerana tulisan dan pandangan saya ada kalanya tidak memihak kepada parti kerajaan. Berapa ramai penulis dan penganalisis politik dari Sabah?
4. Saya rasa lebih terkilan kerana hampir semua KM Sabah bermula dari Tun Sakaran, Datuk Salleh, Datuk Yong Teck Lee, Tan Sri Dompok, Datuk Osu, Tan Sri Chong Kah Kiat, Tan Sri Musa Aman, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Hajiji Haji Noor kenal saya secara peribadi. Setiap KM ini saya pernah menulis buku tentang mereka. Tentang sumbangan dan perjuangan politik mereka.
5. Apapun saya ucap terima kasih kepada kerajaan Indonesia melalui Gabenor Riau pernah memberi anugerah budaya kepada saya pada tahun 2017 atas sumbangan saya menulis sebuah buku sahaja iaitu buku “Bajau – Pahlawan Di Darat Perwira Di Laut”. Saya bukan minta simpati saya hanya menzahirkan perasaan saya sebagai seorang manusia yang lemah…