Oleh: Musli Oli
1.Parlimen hanya dipersetujui bubar oleh YDPA setelah tamat tempoh Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan yang tamat pada 31hb Julai 2022. Oleh itu tarikh pembubaran parlimen hanya akan berlaku selepas bulan Julai 2022 Dalam perjanjian yang ditandatangani pada 13hb September 2021 salah satu syarat utama, kerajaan bersetuju tidak mengusulkan pembubaran parlimen sebelum 31hb Julai 2022. Yang demikian desakan untuk membubar segera merupakan desakan desperado daripada puak-puak yang berkepentingan dan tidak faham perjanjian yang telah dimeterai.
2. Walaupun tempoh agak singkat, Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik telah membawa kestabilan negara ketika mendepani krisis kesihatan menangani kes pandemik Covid19 serta membolehkan kerajaan melulus Bajet 2022. Di samping itu usul pindaan Perlembagaan berkaitan MA63 juga telah diluluskan setelah mendapat sokongan dua pertiga dalam Dewan Rakyat.
3. Selepas PRN Johor mood Umno untuk segerakan pembubaran parlimen dan mengadakan pilihanraya umum sedikit terencat berikutan cadangan parti itu melantik semula Datuk Ir Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor telah tidak dipersetujui Sultan Johor. Sedikit sebanyak ia telah menjejaskan kredibiliti parti Umno dan BN walaupun parti itu memperolehi kemenangan besar dan mendapat majoriti dua pertiga.
4. Penolakan cadangan Umno telah menimbul pelbagai persepsi. Sebagai contoh saya kongsi sentimen Tan Sri Shahrir Samad (Tok Uban) yang saya petik daripada FB beliau. Ada juga yang membuat tanggapan bahawa kepimpinan tertinggi Umno kurang disenangi kerana tidak memberi kredit langsung kepada Perdana Menteri di atas kemenangan BN di Johor. Presiden Umno dalam ucapan selepas keputusan rasmi PRN tidak menyebut langsung nama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri. Malah dalam satu video yang tular, Perdana Menteri dikuis ketepi untuk beri laluan kepada Datuk Seri Najib untuk berada di depan pentas.
5. Imej Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sedikit sebanyak telah mempengaruhi sikap dan keputusan pengundi dalam tiga pilihan raya negeri; Melaka, Sarawak dan Johor. Menafikan peranannya seolah-olah mengenepikan imej seorang pemimpin yang tenang dan fokus menangani permasalahan rakyat. Ini ditambah lagi bila keputusan Biro Politik Umno yang anggotanya terdiri dari Pengerusi-Pengerusi Perhubungan Umno Negeri telah membawa usul mencadangkan Naib Presiden Umno sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15 tidak dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Parti.
6. PAU yang akan bermula esok di PWTC mungkin akan menjawab beberapa persoalan atau akan membawa lebih banyak pertembungan dan pertelingkahan. Sama-sama kita ikuti dan nantikan jawapannya.