SEKALI KETUK: Parti Cina Bukan Lagi ‘King Maker’?

LDP.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Musli Oli

1. Sejak merdeka, masyarakat Cina kerap dilabel sebagai ‘king maker’ dalam perebutan kuasa antara dua kumpulan bumiputera terbesar di Sabah. Namun buat pertama kali dalam sejarah, masyarakat Cina memilih untuk menjadi ‘king’ bila parti LDP yang diketuai penasihatnya Tan Sri Chong Kah Kiat bertanding 47 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah yang ke 16. Faktor apakah yang mendorong masyarakat Cina ingin merebut jawatan KM Sabah?

2. Sejak pilihan raya negeri pertama pada tahun 1967 parti Cina atau parti politik (multiracial) yang diketuai pemimpin Cina tidak pernah bertanding lebih daripada 10 kerusi. Pada 1967 parti SCA hanya bertanding 6 kerusi sahaja. Dalam PRN itu SCA menang 5 kerusi tetapi Ketua Menteri Sabah Peter Lo yang mewakili SCA tewas kepada calon Bebas.

3. Sungguhpun bilangan penduduk Cina merupakan penduduk kedua terbesar di Sabah selepas bumiputera KDM, tetapi mereka lebih terpusat di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Kudat serta kawasan pinggir bandar seperti Likas, Luyang, Tanjung Papat, Merotai dan Kepayan. Dalam masa yang sama terdapat bilangan pengundi Cina yang signifikan (30-35%) di kawasan penduduk campuran seperti Moyog, Sungai Sibuga dan Inanam.

4. SCA telah menyertai kerajaan campuran dalam Sabah Alliance sejak 1963 bersama parti UPKO dan USNO. Selepas PRN 1967 setelah UPKO kalah, SCA masih dalam kerajaan campuran Sabah Alliance diketuai USNO. SCA diwakili Phang Tet Tsung dalam kabinet Tun Mustapha.

5. Pada pilihan raya negeri 1976 semua 8 calon SCA tewas kepada calon parti BERJAYA. Antara faktor penolakan pengundi Cina terhadap SCA pada masa itu kerana parti BERJAYA dilihat mendapat restu dan sokongan daripada Kuala Lumpur.

6. Bagaimanapun bermula awal 80an setelah parti nasional DAP mengembang sayapnya ke Sabah, masyarakat Cina Sabah telah mengalih sokongan kepada DAP. Parti-parti tempatan Cina yang muncul seperti SCCP, LDP dan SAPP tidak mendapat sokongan jika bersaing dengan calon DAP. Parti-parti Cina tempatan itu hanya menang di kawasan campuran seperti Kudat, Likas dan lain-lain yang bukan majoriti pengundi Cina.

7. Senario politik dalam pilihan raya kali ini sangat berbeza. Kebangkitan semangat masyarakat Cina dilihat agak luar biasa. Menurut penganalisis politik antara faktor utama yang mendorong kebangkitan itu ialah keadaan ekonomi negeri yang semakin merudum. Sungguhpun begitu rata-rata masih setuju masyarakat Cina di kawasan bandar masih memberi sokongan kepada parti DAP kerana parti itu lebih efektif membawa suara masyarakat Cina di peringkat parlimen dan negeri.

8. Tetapi di kawasan luar bandar dan kawasan campuran mereka diramalkan akan menarik sokongan daripada parti pemerintah WARISAN PLUS atas faktor kegagalan kepimpinan parti itu mengurus ekonomi dengan baik. Selain faktor-faktor itu, dasar tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan juga dianggap antara punca utama ekonomi lembab yang membawa kepada kejatuhan kuasa beli pengguna yang secara langsung memberi impak negatif kepada golongan peniaga. Harus juga diingat pemimpin Cina pernah jadi KM Sabah – Peter Lo, Yong Teck Lee dan Chong Kah Kiat bukan kerana parti mereka menguasai DUN Sabah tetapi kerana kerjasama baik dengan kerajaan Persekutuan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top