SEKALI KETUK: Malaysia Dan Negara-Negara ‘Silk Road’

silk-road.jpg

Oleh: Musli Oli

Saya suka mengikuti rencana David Baddiel dalam siri National Geograpic. Dia menyusuri semula Silk Road atau Laluan Sutera yang terkenal itu. Di sepanjang laluan itu kebanyakan negara yakni lebih 70% termasuk dalam kawasan gurun dan padang pasir. Tetapi peliknya bidang pertanian merupakan aktiviti utama penduduknya dan menjadi sumber ekonomi yang penting selain daripada hasil dari perut bumi seperti petroleum dan gas asli.

Soalannya, bagaimana negara-negara yang mempunyai iklim yang ekstrim, kering kontang pada musim panas dan penuh salji pada musim dingin mampu menjadikan pertanian sumber pendapatan rakyat dan menghasilkan buah-buahan seperti anggur dan aprikot yang terkemuka di dunia? Kismis yang terbaik di dunia juga berasal dari kawasan ini. Sedangkan negara kita yang subur dan bukan kawasan gurun masih mengimpot 70% makanan dan produk pertanian untuk makanan rakyatnya?

Jawabnya kerana negara-negara itu melahirkan pemimpin yang hebat dan bijaksana. Pemimpin yang mencipta jurutera yang genius dan mempunyai daya kreativiti luar biasa. Mereka dapat bina sesuatu yang para jurutera hari ini pun sukar melakukannya.  Ia dicipta lebih 200 tahun yang lalu. Seperti yang ditunjukkan David Baddiel dalam siri itu, terdapat beberapa kawasan padang pasir telah menjadi oasis dan lembah pertanian yang subur bukan kerana terjadi secara semula jadi tetapi kerana ciptaan manusia.

Kawasan pertanian yang subur di tanah gersang Huazangsi, wilayah Tianzhu, Tibet, yang terletak di Laluan Sutera.

Takungan air dibina melalui air yang diperolehi dari saluran air bawah tanah. Air dari gunung dan bukit di salur ke kawasan kering dengan menebuk bukit menggunakan cangkul dan tombak untuk bina saliran air atau terowong bawah tanah sehingga sedalam 40 kaki. Terowong itu dibina beratus kilometer melalui beberapa negara. Air yang mengalir itu bukan sahaja mampu menyediakan air untuk pertanian tetapi juga keperluan manusia yang tinggal di sepanjang kawasan Silk Road. Apa yang menarik terowong air itu sentiasa dibersihkan secara berkala oleh penduduk secara gotong-royong.

Kehijauan di tengah kegersangan…satu lagi kawasan pertanian di tengah-tengah gurun di Laluan Sutera.

Kenapa negara kita tidak mampu melahirkan pemimpin yang bijak dan jurutera yang genius utk menangani masalah pengairan pertanian? Air yang melimpah telah menjadi musibah banjir bukan membawa faedah untuk  pertanian? Kenapa negara kita tidak mampu melahir jurutera yang boleh mencari solusi mengawal banjir selain sekadar memberi jawapan ,”oh itu memang bencana alam”?

Pembangunan teknologi hari ini lebih canggih tetapi kita gagal melahirkan otak-otak yang bijak dan genius untuk menggunakan teknologi itu untuk kebaikan rakyat dan negara. Renung-renungkan. ..

 

Salam hujung minggu dari,

Restoran Pak Mus,

Di Tanjung Aru Plaza.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top