Oleh: Musli Oli
1. Donald Stephen merupakan pemimpin Sabah yang pertama berani mencabar Kuala Lumpur dan pernah menyatakan hasrat untuk membawa Sabah mengikuti jejak Singapura keluar dari Persekutuan. Sungguhpun berpendirian begitu Donald Stephen tidak pernah berhasrat membawa parti UPKO keluar daripada parti Perikatan. Ketua Menteri Sabah pertama itu tahu, jika UPKO dan kerajaan negeri tidak sealiran dengan kerajaan Persekutuan, Sabah akan kehilangan banyak peruntukan pembangunan daripada kerajaan Persekutuan.
2. Bila UPKO kalah dalam pilihan raya negeri 1967, Donald Stephen mengambil keputusan membubarkan parti UPKO pada bulan Oktober 1967. Walaupun terdapat bantahan daripada pemimpin-pemimpin UPKO yang lain terutama daripada Peter Mojuntin, Stephen telah berjaya meyakinkan majoriti masyarakat KDM, bahawa mengekalkan UPKO sebagai parti pembangkang hanya merugikan kaum mereka. Ahli-ahli UPKO kemudiannya menyertai USNO secara en-bloc.
3. Stephen adalah seorang pemimpin yang berpandangan jauh. Dia sanggup ketepikan egonya sebagai seorang ‘Huguon Siou’ demi masyarakat KDM yang diwakilinya. Dia tahu kaum KDM akan terpinggir dari arus pembangunan jika terus menyokong parti pembangkang. Tentang hak-hak Sabah, dia selalu berhujah, perundingan mengenai hak-hak rakyat Sabah dengan kerajaan Persekutuan mestilah dilakukan dalam suasana fikiran yang tenang, bukan ketika fikiran dipengaruhi emosi dan sentimen kebencian. Dia pernah berkata Persekutuan Malaysia ditubuhkan melalui perundingan dan perbincangan bukan melalui ketegangan dan konfrantasi. Maka itu segala permasalahan perlu dibuat secara aman.
4. KM Sabah kedua, Tun Mustapha juga pernah mencabar Kuala Lumpur berhubung dengan isu petroleum dan agihan peruntukan pembangunan. Tetapi bila krisis dengan Tun Razak sukar dirungkai Tun Mustapha mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai KM Sabah. Jawatannya diambil alih Tun Said bin Keruak. Keputusan itu dibuat supaya parti USNO kekal menyokong kerajaan Persekutuan. Selama mengepalai USNO, Tun Mustapha tidak pernah membawa parti itu menentang kerajaan Persekutuan. Walaupun beliau secara peribadi kerap tidak sealiran pendapat dengan pemimpin Persekutuan namun dia tidak mengheret perselisihan itu sehingga boleh menjejaskan USNO dan rakyat Sabah secara umum.
5. Daripada pengalamannya sebagai KM Sabah selama 9 tahun (1985-1994) Tan Sri Pairin Titingan tahu bahawa tanpa sokongan daripada kerajaan Persekutuan, Sabah akan jauh ketinggalan dalam bidang pembangunan. Sebab itu Pairin mengambil keputusan membawa PBS menyertai semula BN pada tahun 2002. Pairin tahu daripada pengalamannya, jika sekalipun PBS berkuasa di Sabah, amat sukar membangunkan negeri tanpa sokongan Kerajaan Persekutuan.
5. Datuk Seri Shafie Apdal merupakan seorang pemimpin yang cukup berpengalaman dalam sepak terajang politik di peringkat nasional. Dia berjaya mendaki hirarki parti UMNO sehingga menjadi pemimpin no 3 kerana PR yang baik dan kebolehannya berpidato. Di samping itu dia juga mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Pusat terutama dengan mantan PM Najib. Shafie diberi jawatan menteri kanan dalam kabinet kerana status hirarkinya dalam parti UMNO.
6. Shafie merupakan pemimpin Sabah paling lama berkhidmat di peringkat Persekutuan. Bermula sebagai setiausaha parlimen, timbalan menteri dan seterusnya sebagai menteri penuh. Dia tahu selok belok politik dan pentadbiran kerajaan Pusat. Daripada pengalamannya sebagai menteri KKLW dia tahu betapa besar kuasa menteri mengagihkan bajet berbilion ringgit kepada negeri-negeri yang menyokong atau yang menentang Kerajaan Persekutuan. Dia juga tahu bahawa pelaburan asing sukar dibawa masuk ke dalam negeri yang tidak selari dengan kerajaan Persekutuan.
7. Persoalan pokoknya kenapa Shafie memilih untuk membawa WARISAN menjadi parti pembangkang? Saya cuba mencari jawapan yang rasional namun saya tidak jumpa. Jika sekalipun Adun PKR dan DAP keluar dari kerajaan campuran, Shafie masih mempunyai majoriti yang cukup untuk mengekalkan mandat kerajaan negeri. Mungkin jawapannya terlalu bersifat personal. Maka sebab itu saya mengimbau keputusan politik yang dibuat Donald Stephen, Tun Mustapha dan Tan Sri Pairin Kitingan bila mereka bersengketa dengan pemimpin Kerajaan Persekutuan. Tapi Shafie Apdal tidak pernah bersengketa dengan pemimpin Kerajaan Persekutuan seperti yang dialami Donald Stephen, Tun Mustapha dan Pairin Kitingan?
8. Saya cuma boleh membuat kesimpulan bahawa keputusan politik yang dibuat Tun Stephen, Tun Mustapha dan Tan Sri Pairin telah mengambil kira kepentingan parti yang diwakili dan juga kepentingan rakyat Sabah. Bukan kerana menjaga ego sebagai pemimpin. Renung-renungkanlah…