Oleh: Musli Oli
1. Petikan perbualan saya pagi ini di Restoran Pak Mus dengan beberapa orang pemimpin PAS Bahagian Gombak. Termasuk mantan MP Kuala Krai (1999) dan anak Ustaz Halim Arshad. Antara isu dibincang, kenapa PAS kurang sambutan di Sabah?
2. Saya kata ia berpunca daripada kotak pemikiran dan cara orang Sabah menilai politik dan pemimpin politik. Ia berbeza dengan orang Melayu di Semenanjung. Bagi saya orang Sabah lebih profesional penilaiannya. Di Sabah orang politik dinilai dari sudut fungsinya. Di Semenanjung, orang Melayu menilai politik dari sudut peribadi pemimpin politik. Termasuk isu peribadi isteri, anak-anak dan kaum keluarganya.
3. Contoh mudah. Kami menilai seorang guru berdasarkan prestasinya sebagai guru bukan sebagai individu. Misalnya jika 100% murid dalam kelas guru itu lulus maka guru itu kami anggap seorang guru yang sukses. Soal perbadinya tidak relevan.
4. Sebaliknya seorang guru yang baik dan warak tapi dalam kelas murid-murid tidak lulus dalam peperiksaan, fungsinya sebagai guru dianggap gagal. Begitu penilaian di sini.
5. Sebab itu di Sabah soal perbadi pemimpin tidak dijadikan isu politik. Jika sekalipun ada isu, ia tidak akan dibesar-besarkan. Soal bagaimana orang politik mengurus hidup, mengurus rumah tangga, isteri dan anak-anak merupakan hak asasi yang kami hormati. Adakah orang Melayu di Semenanjung berfikir begitu?
6. Cara pemikiran orang Sabah sedemikian rupa menyebabkan soal-soal moral dan soal agama sukar diterapkan menjadi isu politik. Orang Sabah menganggap politik sekadar mengurus soal pentadbiran negara bukan cara mengurus hidup rakyat. Mengurus hidup adalah hak individu yang tidak boleh dicampur dengan politik.
7. Keadaan itu berlaku disebabkan di Sabah ini rakyatnya biasa hidup bercampur gaul tanpa mengira bangsa dan agama. Kami telah terbiasa dengan keadaan itu secara semula jadi. Dalam keadaan begitu kami terlatih secara semula jadi juga untuk berfikir dan bercakap, apa yang perlu dan apa yang tidak.
8. Saya sebenarnya mahu juga berkata, jangan risau. Saya tak salahkan orang Melayu Semenanjung. Saya salahkan British. Dasar pecah perintah British mungkin menjadi puncanya. Orang Melayu ‘diletakkan’ di kampung, Cina di bandar, India di estet-estet. Jadi bila kamu hidup sesama kamu, dengan sendirinya nilai toleransi kamu akan berkurangan dan sikap ambil peduli pula akan menjadi berlebihan.
9. Ya, ia bukan salah kamu. Salah orang lain.Kamu hanya bersalah jika tidak berusaha membetulkan keadaan itu.