Oleh: Musli Oli
1.Sejak kebelakangan ini seorang dua MP dari Sabah mengeluar kenyataan yang dianggap berbaur hasutan atau provokasi. Sejauh mana ukuran hasutan dan provokasi itu terpulang kepada penilaian masing-masing.
2. Sejarah politik Sabah dipenuhi adegan-adegan politik yang dramatik dan tragis. Beberapa pemimpin utama hilang jawatan kerana membuat gerakan serta mengeluarkan kenyataan ingin membawa Sabah keluar dari Persekutuan. Antaranya termasuk Ketua Menteri Sabah yang pertama, Donald Stephen (Tun Mohd Fuad Stephen) dan Ketua Menteri Sabah yang ketiga Tun Datu Mustapha Harun.
3. Tun Stephen meminta kedudukan Sabah dalam Malaysia dikaji semula setelah Singapura keluar dari Persekutuan pada 1965. Akibatnya Tun Stephen diarah meletak jawatan Ketua Menteri Sabah. Tun Mustapha melakukan desakan yang sama pada 1975. Dia juga diminta meletakkan jawatan.
4. Jauh di sudut hati, ramai rakyat mahukan negeri Sabah memerintah sendiri seperti mana negara Singapura dan negara Brunei. Ini kerana rasa tidak puas hati akibat keengganan Persekutuan menghormati MA63 selama 58 tahun. Bilangan ‘ramai’ itu bagaimanapun belum dapat dipastikan peratusnya kerana belum pernah diadakan pungutan suara atau referendum seperti pernah dibuat di Scotland beberapa tahun lalu untuk tentukan sama ada rakyatnya setuju atau tidak keluar dari United Kingdom.
5. Saya mengajak beberapa kawan bertukar pendapat mengenai isu ini baru-baru ini. Seorang sangat keras dengan hujahnya supaya Sabah keluar dari Persekutuan. Katanya, Malaya bertindak seperti penjajah baharu yang hanya berniat dari awal untuk ambil kekayaan Sabah. Kekayaan itu digunakan memajukan wilayah mereka sahaja. Terlalu sedikit diberi kepada Sabah. Saya tanya dia, selain Malaya, adakah negara lain yang mahu menjajah Sabah?
6. Bukankah Filipina masih menuntut hak ke atas Sabah? Berapa ramai rakyat dari Filipina berada di bumi Sabah berbanding jumlah penduduk Malaya berada di Sabah? Saya tanya dia. Dia bungkam seketika. “Saya bagi contoh mudah, Perumahan PPR Telipok sebagai contoh. Perumahan itu dibina untuk rakyat Sabah. Betul atau tidak? Tapi berapa ramai penduduk tempatan dibandingkan dengan jumlah penduduk berasal dari Filipina dalam Perumahan itu? Dan berapa ramai penduduk dari Malaya yang telah mengambil kuota dan hak penduduk tempatan di PPR Telipok?”
7. Selain Filipina negara mana masih anggap Sabah wilayahnya? Jawabnya Indonesia. Indonesia berada di sempadan. Tidak dipisah lautan. Ibu negaranya tidak lama lagi berada di Kalimantan. Persoalan saya, berapa ramai rakyat yang berasal dari Indonesia berada di bumi Sabah sekarang ini berbanding dengan orang yang berasal dari Malaya?. Jika kita anggap Malaya sedang menjajah Sabah, kenapa penduduknya tidak menetap dan menghuni negeri ini dan mengambil hak dan peluang penduduk tempatan. Saya bertanya lagi.
8. Katalah Sabah berjaya menuntut kemerdekaan dan menjadi sebuah republik yang amal prinsip demokrasi. Kamu sudah fikirkah siapa bakal jadi Ketua Menteri Sabah yang baharu? Apakah dari kalangan bangsa OAS yang minoriti atau pemimpin yang asal usulnya dari Filipina dan Indonesia yang jumlahnya berkali-kali ganda dari penduduk tempatan. Pada masa itu pada siapa kita sebagai orang asal Sabah mahu mengadu? Kepada Jokowi atau kepada Duterte? Jika kamu beri jaminan bahawa Filipina dan Indonesia lebih baik, ayuh kita isytihar kemerdekaan segera!!
Renung-renungkan…