SEKALI KETUK: Antara Parti Tempatan Dan Parti Nasional

sabah-sarawak.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: MUSLI OLI

1.SAYA membaca komen Naib Presiden PBB Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. Katanya penguasaan parti bukan tempatan di Sabah menghalang usaha negeri Malaysia Timur berkerjasama dalam hak mereka dalam MA63. Dia berhak ke atas pandangannya. Namun pandangan itu tidak semestinya benar.

2. Suka saya menjelaskan, sungguhpun Sabah dan Sarawak menandatangani perjanjian yang sama namun dalam perjanjian MA63 terdapat beberapa syarat yang berbeza untuk negeri-negeri tersebut. Maka itu tiada keperluan sangat untuk negeri Malaysia Timur berkerjasama menuntut hak dalam MA63. Sabah boleh membuat tuntutan mengikut caranya sendiri. Begitu juga Sarawak.

3. Landskap politik kedua negeri Malaysia Timur agak sedikit berbeza. Sejak awal merdeka pemimpin politik Sarawak telah mengamalkan dasar ‘pintu tertutup’. Manakala pemimpin Sabah bersikap lebih terbuka menerima pemimpin dan parti-parti politik dari luar negeri itu. Sewaktu sembang-sembang dengan KM Sabah Sabtu lalu, saya ibaratkan Sarawak seperti pemerintahan Dinasti Shogun Tokugawa yang memerintah Jepun selama 250 tahun. Tokugawa amalkan dasar menutup dan menghalang sebarang pengaruh luar masuk ke Jepun.  Namun Jepun hanya menjadi negara maju dan moden setelah dasar tutup pintu tertutup itu dimansuhkan pada tahun 1868.

4. Seperti Jepun, dalam mengamalkan dasar pintu tertutup ia memerlukan seorang pemimpin yang sangat berpengaruh. Satu ketika dulu Sabah, seperti Sarawak pada hari ini, juga mempunyai pemimpin politik yang berpengaruh. Antaranya ialah Tun Fuad Stephen, Tun Mustapha, Tan Sri Harris Salleh dan Tan Sri Pairin Kitingan. Negeri Sabah juga pernah sepenuhnya diperintah parti politik tempatan. Parti UPKO, USNO, BERJAYA, PBS adalah parti politik tempatan yang pernah memerintah negeri Sabah selama 31 tahun (1963-1994).

5. Oleh itu tiada apa yang istimewa dan ajaib dengan politik Sarawak kerana Sabah juga telah melakukannya pada fasa pertama perkembangan politik negeri itu. Cuma selepas tahun 1994 Sabah telah memasuki fasa kedua, di mana parti politik nasional yang diketuai Umno telah mula melebar sayap dan berkembang di Sabah dan menjadi politik yang dominan selepas itu. Ia kemudian diikuti lain-lain parti.

6. Persoalannya, apakah kehadiran parti politik nasional seperti Umno dan PPBM di Sabah menjadikan Sabah kurang haknya berbanding Sarawak dalam tuntutan hak MA63? Jawabnya terpulang kepada persepsi masing-masing. Ini kerana setakat ini setiap hak yang diberikan kepada Sarawak juga diberikan kepada Sabah. Cuma pendekatan menuntut hak itu sedikit berbeza. Sarawak hanya boleh tuntut melalui kerajaan negeri atau menggunakan kuasa undang-undang dan mahkamah sebaliknya pemimpin Sabah boleh ambil pendekatan musyawarah, berunding atau ‘bisik-bisik’ di peringkat parti dan dalam masa yang boleh juga melakukan tuntutan rasmi kepada kerajaan Persekutuan melalui  kerajaan negeri atau DUN Sabah.

7. Cuma satu advantage berada dalam parti nasional ialah adanya kuasa memilih presiden parti politik yang boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia jika parti itu menang dalam pilihanraya umum. Rakyat Sabah yang menganggotai parti nasional (Umno, PPBM, PKR dan lain-lain) boleh memilih seorang presiden parti nasional melalui perhimpunan agung parti daripada 25 bahagian parlimen. Rakyat Sarawak sebaliknya cuma boleh memilih parti dalam PRU tetapi mereka tidak ada kuasa memilih seorang pemimpin yang bakal menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top