Segerakan Pembinaan Semula Klinik Kesihatan Mansiat – Shahelmey

shahelmey-1.jpg

Shahelmey menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penerima.

Kongsi Bersama

KENINGAU: Pembinaan semula Klinik Kesihatan Mansiat, Keningau perlu disegerakan bagi memastikan rutin perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, setakat ini operasi klinik berkenaan masih berjalan dengan menggunakan modus operandi seperti klinik bergerak dan menggunakan dewan masyarakat sebagai alternatif lain.

Beliau yang juga Exco Kesihatan negeri itu berkata, pihaknya pada masa sama turut meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi keperluan terbabit.

“Saya difahamkan operasi Klinik Kesihatan Mansiat masih dijalankan melalui klinik bergerak dan dewan masyarakat sebagai fasiliti alternatif untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada orang awam.

“Saya menyeru kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memberi perhatian dan juga tindakan segera bagi tujuan pembinaan semula Klinik Kesihatan Mansiat.

“Ianya bagi memastikan penduduk di sekitar kawasan tersebut masih akan dapat perkhidmatan kesihatan dalam keadaan lengkap dan selesa” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemu pemberita selepas merasmikan Program Prihatin Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat daerah Keningau di Dewan Taman Kali, Keningau pagi tadi.

Untuk rekod, Klinik Kesihatan Mansiat, Jalan Tulid, Sook itu musnah dalam kebakaran pada Selasa lalu.

Terletak kira-kira 40 kilometer dari Pekan Keningau, Keningau, fasiliti kesihatan itu difahamkan dibina pada 1970-an menggunakan struktur kayu.

Terdahulu, dalam perkembangan berasingan, Shahelmey berkata kementeriannya sentiasa berusaha dalam menambahbaik perkhidmatan mereka dalam membantu masyarakat.

Ujarnya, pemimpin-pemimpin masyarakat perlu bersama-sama memainkan peranan dalam membantu masyarakat terutamanya dalam pengemaskinian data di kawasan mereka.

“Saya mengambil kesempatan untuk turun ke daerah Keningau dan Nabawan hari ini untuk melihat sendiri keadaan masyarakat kita dan melihat hasil kerja daripada Jabatan Kebajikan di daerah ini untuk memahami sekiranya ada lagi peluang-peluang penambahbaikkan dalam perkhidmatan berkaitan kebajikan kepada rakyat di negeri Sabah.

“Pemimpin-pemimpin masyarakat setempat perlu sama-sama membantu pihak Kerajaan dalam pengemaskinian data penduduk setempat agar tiada rakyat tercicir daripada menerima bantuan bagi yang layak” jelasnya.

Sebanyak sembilan Program Prihatin KPMKR akan dilaksanakan di daerah-daerah yang berbeza bagi menyantuni golongan rentan di negeri ini.

Dalam program berkenaan, bakul makanan akan diberikan kepada penerima-penerima bantuan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top