Segera Warta Status Wilayah Sabah Dan Sarawak

Shafei.jpg

(Gambar fail).

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Status wilayah Sabah dan Sarawak perlu dikembalikan dan diwartakan dengan segera seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengenai usaha mewartakan pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak kepada wilayah.

“Kita telah pun meluluskan pindaan Rang Undang-Undang mengikut Perkara 1(2) di Dewan Rakyat.

“Bukan tiada keperluan untuk kembalikan status wilayah, itu memang salah satu daripada kelainan yang membolehkan Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang mempunyai bidang kuasa tertentu.

“Itu memang antara perjanjian yang telah termaktub dan sejak di peringkat awal semasa MA63 dimeterai, ia membabitkan wilayah Persekutuan Tanah Melayu dan juga Borneo Utara ketika pemerintahan British di Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa status Sabah dan Sarawak perlu kekal sebagai negeri.

Wan Junaidi berkata, perubahan status itu dikhuatiri mengundang masalah lebih besar kerana ia melibatkan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, perubahan status itu akan membolehkan Sabah dan Sarawak mempunyai beberapa bidang kuasa yang berbeza berbanding negeri-negeri lain.

Pada masa ini, Sabah dan Sarawak mempunyai bidang kuasa Imigresen dan ia tidak dimiliki oleh mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia.

Dalam bidang perundangan pula, kedua-dua wilayah ini turut mempunyai kuasa untuk menyekat peguam-peguam Semenanjung Malaysia dari mengamalkan khidmat guaman mereka di Sabah.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sehingga kini, peguam-peguam Semenanjung tidak boleh memberi dan mengamalkan khidmat guaman mereka di negeri ini.

“Saya yakin apa yang penting adalah meletakkan kembali status wilayah itu pada landasan sepatutnya.

“Tapi bukan itu sahaja, tuntutan-tuntutan lain seperti yang diumumkan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga menunjukkan kelainan yang diberi kepada Sabah dan Sarawak seperti pemberian geran khas,” katanya.- BORNEO TODAY

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top