Segera Selesaikan Isu Projek ‘Sakit’ – Christina

christina.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan harus bertindak lebih proaktif dalam usaha menyelesaikan segera 16 projek ‘sakit’ di Sabah.

Mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, kerajaan perlu berusaha mengenal pasti masalah yang menyebabkan projek berkenaan tergendala seterusnya menyiapkan secepat mungkin.

“Kita sering mendengar projek sakit menerusi laporan media sejak peralihan kerajaan Pusat pada Februari 2020.

“Kali ini kita mendapati Sabah merupakan negeri mempunyai projek sakit tertinggi iaitu 16. Sekiranya ini benar, sudah pasti wujudnya masalah menyebabkan perkara itu terjadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmati.

Beliau berkata, rakyat seharusnya mendengar berita positif mengenai perkembangan semua projek berkenaan. Kerajaan perlu bersikap telus dalam mendedahkan semua projek sakit itu dengan memberikan tempoh jangka masa siapnya projek terbabit.

Katanya, pihak berkuasa berkaitan perlu menyiasat masalah utama agar semua projek berkenaan dapat disiapkan secepat mungkin, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Tawau itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang baru-baru ini mendedahkan kerajaan sedang memantau 92 projek ‘sakit’ di seluruh negara.

Berkaitan dengan projek naik taraf Hospital Tawau, Christina menjelaskan negara kini sudah berada dalam Rancangan Malaysia ke-12, bagaimanapun tahun lalu hanya 60 peratus kemudahan hospital berkenaan disiapkan.

“Kita berharap bangunan baharu hospital ini dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Mustapa sebelum ini menjelaskan kerajaan telah mengambil langkah wajar dengan melantik pihak pemaju yang menepati kriteria dalam memperkasakan pengurusan projek pembangunan negara ini.

Christina menjelaskan pihak pemaju yang gagal melaksanakan tanggungjawab berkenaan perlu disenarai hitamkan.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top