Oleh: AMIRUDDIN MOHD ROSDI
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr. Aliakbar Gulasan meminta kerajaan Sabah mengambil perhatian terhadap pembinaan surau atau penyediaan tempat beribadat secara mobil di kawasan taman rekreasi di negeri ini.
Beliau berkata, perkara itu sering terlepas pandang walaupun telah disuarakan kepada menteri berkaitan mengenai ketiadaan surau di taman rekreasi di negeri ini.
“Kadang-kadang ada acara dari pagi sampai ke petang di taman-taman rekreasi, kalau di Tanjung Lipat boleh ke Masjid Bandaraya tetapi jaraknya agak jauh.
“Kemudahan ini amat penting untuk umat Islam dan sekarang kita ada lori bergerak jadi mana-mana program malah di pasar-pasar malam pun kadang-kadang orang sibuk pada waktu Maghrib yang sangat singkat boleh disediakan kemudahan ini,” katanya ketika mencelah ucapan penggulungan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini.
Aliakbar turut berharap, Abidin atau pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil perhatian mengenai perkara itu supaya umat Islam tidak tertinggal dalam menjaga solat ketika berada di taman-taman rekreasi yang disediakan.
“Memang boleh solat di padang tetapi kadang-kadang untuk wanita agak sensitif sikit jadi jika ada acara di taman-taman rekreasi atau program yang ada paling kurangpun ada mobil surau disediakan,” katanya.
Bagi menjawab cadangan itu, Abidin mengakui tempat ibadat seperti surau amat penting dan perkara itu akan dilihat secara terperinci untuk pelaksanaan pembinaan surau di kawasan taman rekreasi.