KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengadakan perbincangan atau menyediakan subsidi khusus terhadap syarikat penghantaran makan.
Presiden Persatuan Pengusaha Industri Kecil Dan Sederhana Foo Ngee Kee berkata, usaha itu perlu direalisasikan bagi mengurangkan bayaran penghantaran yang dikenakan terhadap perniagaan dari rumah.
“Saya mencadangkan agar kerajaan boleh mengadakan perbincangan dengan Pos Laju untuk menyediakan platform perkhidmatan penghantaran makanan dengan cas bayaran rendah.
“Industri perniagaan dari rumah mempunyai potensi sangat besar untuk berkembang memandangkan modal untuk memulakan perniagaan adalah rendah.
“Kini ramai dalam kalangan masyarakat lebih berminat untuk memesan dan ‘take away’ sahaja disebabkan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, di Kuala Lumpur sahaja ramai kalangan generasi muda profesional berumur diantara 30 sehingga 45 lebih gemar dengan konsep ‘take away’ sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, selain boleh mengelakkan daripada kesesakan lalu lintas.
Katanya, perniagaan dari rumah juga membolehkan suri rumah menjana pendapatan tambahan dan pada masa yang sama boleh menjaga anak masing-masing.
“Apabila anak mereka sudah membesar nanti, anak-anak ini juga boleh membantu ibunya mengembangkan perniagaan terbabit.
“Secara tidak langsung, mereka boleh mampu mendapatkan peralatan bertarafkan komersial dalam proses mengembangkan perniagaan,” katanya.
Menurutnya, kos penhantaran yang tinggi kini boleh membantutkan pertumbuhan perniagaan dari rumah. Contohnya nasi lemak kosong yang boleh dijual RM2 sebungkus, tetapi dikenakan kos penghantaran RM3 menyebabkan harga keseluruhan itu (RM5) tidak dapat dijual.
Oleh itu katanya, kerajaan perlu duduk semeja dengan syarikat penghantaran makanan seperti Food Panda atau Grab untuk berbincang bagi mengurangkan kos berkaitan.
Foo menjelaskan pihaknya mempunyai rancangan untuk menyediakan perkhidmatan trak bergerak bagi menjual makanan atau mengutip produk dari pengeluar atau peniaga, tetapi usaha berkenaan terbantut disebabkan pandemik COVID-19.
Katanya, persatuan beliau juga telah mencadangkan kerajaan untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi mendapatkan trak bergerak kemudian disewakan kepada mereka yang berminat dengan kos rendah.
Jelasnya, usaha berkenaan membolehkan trak digerakkan dipelbagai daerah di Sabah untuk mendapatkan produk makanan, buah-buahan dan sebagainya yang dihasilkan oleh penduduk luar bandar agar mereka boleh menjana pendapatan.
“Setiap daerah boleh memiliki sebanyak tujuh atau lapan buah trak bergerak, perkhidmatan ini juga menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, Foo juga menjelaskan PKS Sabah telah mewujudkan satu rangkaian ‘SME Sabah Community’ dalam laman Facebook yang membolehkan para peniaga berkongsikan produk atau perkhidmatan dihasilkan masing-masing.
Katanya, semua individu tidak kira ahli PKS Sabah atau bukan boleh menggunakan platform berkenaan untuk memasarkan produk mereka. –Utusan Borneo