Sedar berikrar menyokong kerajaan semasa, sasar lebih ramai ahli di Sabah

Othman-Abdillah.jpg

Datuk Othman Abdillah (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Sedar Rakyat (Sedar) mengumumkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan sedia ada di peringkat negeri dan persekutuan.

Parti yang diketuai oleh presidennya, Datuk Othman Abdillah itu menjadikan kestabilan politik, pelaburan, pembangunan pendidikan dan kesejahteraan rakyat sebagai faktor utama yang mempengaruhi keputusan mereka.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyandang jawatan Perdana Menteri dan menggesa agar tidak berlaku gangguan bagi mengelak terjadinya sebarang pergolakan.

“Kita beri mereka empat tahun (sebelum penggal parlimen tamat), kemudian kita lawan (menentang mereka dalam pilihan raya),” katanya dalam sidang media baru-baru ini yang diadakan selepas mesyuarat agung sulung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Beliau berkata Sedar Sabah, cawangan tempatan parti itu, kini mempunyai kira-kira 10,000 ahli, dan parti itu merancang untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada 100,000 menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, parti itu menyasarkan untuk bertanding di semua 73 kerusi DUN pada pilihan raya negeri akan datang.

Menangani kebimbangan perpecahan selanjutnya dalam landskap politik Sabah, Othman mengakui perpecahan memang sedia ada tetapi menekankan kepentingan mencari parti terbaik tanpa rasuah.

“Dengan atau tanpa parti baharu, Sabah sudah berpecah. Rakyat hanya perlu mencari parti terbaik tanpa rasuah.

“Bagi parti kami, ia lebih kepada pembiayaan sendiri dan kami terbuka kepada sumbangan daripada orang ramai.”

Hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Perhubungan Sedar Sabah, Ariffin Willie Mohamad.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top