Sedap sungguh bahasa Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming sewaktu berceramah keapda kira-kira 200 penyokong dan pengundi DUN Luyang di Kota Kinabalu.
Sambil menggesa penduduk Sabah agar mengundi Warisan Plus dia memomok-momokkan Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman.
Antara ayat-ayatnya sebagaimana dilaporkan Malaysiakini, “Orang tua-tua kata jika kita bercakap tentang mimpi buruk kita, ia tak akan jadi realiti. Semalam, saya dapat mimpi buruk BN menang dan Bung adalah ketua menteri baru.
“Jika ini berlaku, bagaimana orang Sabah boleh berbangga lagi? Di mana maruah mereka?”
“Satu lagi ialah siapa Yang di-Pertua Negeri yang baru? Saya dengar Musa (Aman).
“Musa tak bertanding dalam PRN dan dia tiada buat kacau. Jadi persetujuan mungkin telah dibuat di belakang kita. Persetujuan apa? Boleh jadi berkenaan (kedudukan) Yang di-Pertua Negeri,” katanya.
Atas sebab itulah katanya rakyat mesti menghalang Bung Moktar dan Musa daripada menjadi ketua menteri dan Yang di-Pertua Negeri dengan cara memberi undi kepada Warisan Plus.
Seorang pemimpin dari sebuah parti tak bermaruah, yang sanggup bertanding di bawah bendera parti lain kerana tak yakin pada kemampuan sendiri, nak cuba bercakap tentang maruah?
Apa yang tak kena dengan Bung Moktar dan Musa sehingga dianggap mengundi parti yang mereka dokong dianggap tidak bermaruah?
Dan bermaruahkah mengundi parti yang bersekongkol membentuk pakatan yang sebelum diberi kuasa cakapnya berdegar-degar tetapi selepas 22 bulan berkuasa meletakkan rakyat dalam kecelaruan yang amat sangat?
Bung mungkin out-spoken dan agak kontroversi di parlimen tetapi semua orang tahu wataknya di luar berbeza. Sekurang-kurangnya dia tidaklah bersikap telunjuk lurus kelingkin berkait macam kebanyakan pemimpin DAP dalam Pakatan Harapan.
Dan apa masalahnya kalau Musa menjadi Yang di Pertua Negeri? Siapa Nga Kor Ming hendak memperlekehkannya? Kuasa lantikan pada Yang Di-Pertuan Agong selepas berunding dengan ketua menteri. DAP tak ada apa-apa hak pun dalam hal ini.
Apa pun kelemahannya, jasa Musa pada Sabah bukannya kecil. Jauh kalau dibanding dengan jasa Kor Ming kepada Perak. Orang yang celik dan cerdik nampak jasa Musa walaupun mereka mungkin tercari-cari jasa presiden parti Warisan sekarang ini.
Kenyataan Nga Kor Ming itu mengingatkan kita kepada kesungguhan Datuk Seri Shafie Apdal yang pusing seluruh Sabah mengajak rakyat menolak campur tangan orang Semenanjung dalam urusan Sabah. Ludahnya rupa-rupa ke langit. Di lamannya sendiri DAP nak ‘campur’ hingga ke hal Yang di-Pertua Negeri. Itu baru ada enam kerusi di DUN (selepas PRU 14), kalau kerusinya lima enam belas, mungkin hari-hari Shafie dipanggil ‘menghadap’.
Oleh: Tamar Jeles