TAWAU: Sebuah lagi parti tempatan dijangka akan muncul di Sabah pada minggu ini.
Jangkaan ini dibuat berikutan satu laporan Bernama semalam yang menyebut bekas Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Tan Sri Liew Yun Fah mengesahkan akan kembali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini.
Laporan itu turut menyebut Liew sebagai berkata beliau akan bertanding atas tiket parti tempatan yang akan dilancarkan minggu ini. Beliau bagaimanapun merahsiakan nama parti itu sehingga dilancarkan.
“Saya akan menerajui parti ini dengan ahlinya terdiri daripada anak Merotai dan Tawau. Parti ini memiliki beberapa calon yang boleh diketengahkan dan akan bertanding lebih daripada satu kerusi DUN sama ada di Tawau atau Kalabakan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Liew yang pernah menyandang kerusi DUN Merotai selama sepenggal menerusi Pilihan Raya Umum 2004 berkata keputusannya untuk bertanding semula kerana mahu membawa pembangunan yang dilihat perlahan di DUN berkenaan dan kawasan sekitarnya.
Untuk rekod, Liew pernah menyertai Parti Amanah Negara dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu pada Disember 2018.
Selepas Liew, kerusi DUN Merotai disandang Datuk Pang Yuk Ming daripada Parti Liberal Demokrat (LDP) selama dua penggal, dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerusi itu dimenangi Sarifuddin Hata daripada Parti Warisan Sabah.