Sebilangan Individu Di Sabah Tak Lapor Status Positif Covid-19

positif-covid-19.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebilangan individu di Sabah didapati tidak melaporkan keputusan positif ujian kendiri Covid-19 kepada pihak berkuasa kesihatan.

Menurut laporan portal berita FMT, yang menerima laporan mengenai perkara ini, bercakap kepada beberapa individu yang memetik pelbagai sebab untuk merahsiakan keputusan ujian dengan berkata, “rasanya lebih baik” untuk berbuat demikian.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Biden berkata, beliau tidak mahu dihantar ke pusat kuarantin dan menyamakannya dengan “hukuman penjara”.

“Saya dengar ada yang dihantar ke pusat (kuarantin) sampai ke Kota Belud (di utara Sabah). Bila isytihar keputusan (positif), mereka kata akan datang ambil, saya tak mahu,” katanya kepada FMT.

Memandangkan beliau berasa gejalanya tidak serius, maka beliau membuat keputusan untuk menjalani kuarantin di rumah.

Namun katanya, beliau ada memaklumkan kepada individu yang dipercayai menjadi kontak rapatnya.

Limin (bukan nama sebenar) berkata, beliau dan keluarganya memilih untuk menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari, berbanding memaklumkannya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) apabila mengetahui mereka dijangkiti.

Seorang lagi wanita, yang baru-baru ini disahkan positif Covid-19 bersama suami dan bayinya berkata, mereka memutuskan untuk tidak melaporkan kepada pihak berkuasa supaya “cuti sakit kami tidak terguna atau berdepan risiko gaji dipotong”.

Bagaimanapun Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, sebenarnya lebih ramai orang yang melaporkan keputusan ujian mereka melalui aplikasi MySejahtera berbanding sebelum ini, namun beliau tidak mendedahkan sebarang angka.

Sabah mencatatkan jangkitan harian empat angka sejak 5 Feb, dengan angka tertinggi adalah sebanyak 5,565 kes Jumaat lepas.

Sementara itu Dr Aldred Soo, yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth II di sini menegaskan bahawa tindakan tidak melaporkan jangkitan yang disahkan akan merisikokan orang awam.

“Laporan sangat penting agar setiap orang yang terkesan boleh dimaklumkan (oleh pihak berkuasa kesihatan) bagi meminimumkan jangkitan,” katanya kepada FMT.

Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mengakui bukan mudah untuk mengawal selia tingkah laku tetapi berkata, orang ramai harus memikirkan petugas barisan hadapan.

“Jujurlah kepada diri sendiri dan orang di sekeliling anda. Kesejahteraan mereka, termasuk jiran anda, bergantung kepada tindakan anda dan cara anda mengurus jangkitan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top