KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) Tan Sri David Chu mencadangkan kerajaan membenarkan pengambilan buruh asing dari lebih banyak negara sumber bagi menangani masalah kekurangan buruh di Sabah.
Beliau berkata Sabah tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada pekerja migran dari Filipina dan Indonesia, terutamanya memandangkan sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan kini menghadapi kekurangan buruh yang serius.
Chu berkata demikian kepada media selepas melancarkan pratonton khas Menara Berkembar Jesselton dan kenderaan elektrik Tesla di galeri jualan Menara Berkembar Jesselton di sini pada Ahad.
Walaupun kerajaan Persekutuan baru-baru ini meluluskan pengambilan puluhan ribu pekerja Indonesia ke Malaysia, beliau berkata Sabah masih menghadapi keperluan mendesak untuk buruh asing, terutama dalam sektor perladangan dan pembinaan.
Chu berpendapat, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan untuk membenarkan pekerja asing dari negara lain selain Filipina dan Indonesia kerana Sabah tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada dua negara sumber.
Sebagai contoh, beliau berkata Malaysia Barat membenarkan pekerja asing dari Myanmar.
“Seorang penternak cendawan di Kundasang baru-baru ini memberitahu saya bahawa anak dan menantunya sendiri terpaksa membantu di ladang kerana tidak dapat menggaji pekerja asing.
“Pemilik ladang kelapa sawit juga menghadapi kekurangan buruh yang teruk apabila harga minyak sawit mentah melonjak kepada RM1,000 setan.”
Pada perkembangan lain, Chu berkata projek Menara Berkembar Jesselton dijangka siap menjelang akhir tahun dan memperoleh sijil penghunian pada suku pertama 2023.
Beliau berkata hampir 70 peratus unit telah terjual sehingga kini.
Walaupun kos bahan binaan meningkat, beliau berkata harga jualan Menara Berkembar Jesselton kekal tidak berubah.
Beliau menggesa pembeli yang untuk merebut peluang untuk memiliki sebuah unit secepat mungkin.