SDB Perlu Cekap Dan Progresif Bagi Membantu Membangunkan Sabah – Hajiji

hajiji.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mahu Sabah Development Bank Berhad (SDB) memulihkan perniagaannya dan membantu Kerajaan Negeri dalam membangunkan Sabah.

“Matlamat utama kita adalah untuk merombak SDB kerana saya melihat SDB penting untuk Sabah maju ke hadapan.

“Sebab itu apabila saya mengambil alih, (sebagai Ketua Menteri) perkara pertama dalam fikiran saya ialah SDB. Saya mahu ia berfungsi dengan cekap dan progresif kerana ia merupakan wahana pembangunan penting bagi Kerajaan Negeri,” katanya pada lawatan kerja sulungnya ke SDB di Wisma Tun Fuad Stephens sini hari ini.

Hadir menyambutnya ialah Pengerusi SDB, Datuk Pengiran Hassanel Pg. Mohd Tahir dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Datuk Vincent Pung.

Beliau juga diberi taklimat mengenai prestasi keseluruhan SDB oleh Vincent yang mengambil alih SDB sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kira-kira 11 bulan lalu.

Hajiji yakin di bawah kepimpinan Vincent dan Pengiran Hassanel, SDB akan dapat mencari jalan bukan sahaja untuk menjenamakan semula dirinya tetapi juga melaksanakan tugasnya untuk membantu Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri berkata, objektif utama beliau adalah untuk meningkatkan ekonomi Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Pelan Pemulihan Ekonomi, yang bertujuan mewujudkan iklim mesra perniagaan bagi menarik pelabur datang dan dalam proses mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Kemudian, Hajiji melancarkan risalah SDB yang merangkumi pengembangan perkhidmatan institusi yang menonjolkan tiga peranan utama SDB dalam menggalakkan pembangunan Sabah, iaitu pembiayaan, nasihat dan pelaburan.

Perkhidmatan yang disediakan di bawah pembiayaan antaranya Pembiayaan Projek, Pembiayaan Aset Tetap, Pembiayaan Modal Kerja dan Skim Jaminan PKS.

Bagi aspek khidmat nasihat pula, perkhidmatan yang disediakan adalah Khidmat Nasihat Korporat, Perantara Kewangan dan Pinjaman Sindikasi.

SDB juga terlibat dalam aktiviti pelaburan, termasuk Penyertaan Ekuiti Modal Teroka dan Pemulihan Projek.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top