Oleh: Jaw
BEAUFORT: Menyedari kesukaran penduduk di daerah Beaufort khususnya di kawasan Lumadan untuk mendapatkan bekalan air bersih, Sabah Credit Corporation (SCC) tampil menghulurkan sumbangan melalui program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) kelmarin.
Sumbangan berupa air mineral dan keperluan makanan itu disampaikan oleh Timbalan Pengerusi SCC Datuk Surinam Sadikun kepada Wakil Rakyat Lumadan Haji Roslan Muharam untuk diagih-agihkan kepada penduduk yang terlibat.
Menurut Surinam yang juga Ketua Srikandi Bersatu bahagian Sipitang sumbangan tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat SCC kepada masyarakat khususnya penduduk di kawasan Lumadan yang terjejas teruk bukan sahaja pasca banjir yang melanda daerah itu namun terputus bekalan air bersih .
” Kita bersimpati kepada mereka yang terjejas banjir, terputus bekalan air bersih sekali gus berhadapan dengan pandemik Covid-19, justeru hari ini kita turun padang menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka dengan harapan ia dapat meringankan sedikit beban yang dipikul, ” katanya ketika di temui di selepas menyampaikan sumbangan tersebut
Dalam perkembangan yang sama Surinam berharap isu terputus belakan air bersih yang dihadapi oleh penduduk di daerah Beaufort akan dapat ditangani segera oleh pihak yang terlibat bagi mempastikan kehidupan penduduk tidak terjejas.
“Kita faham antara faktor yang menyebabkan bekalan air bersih ini terputus adalah disebabkan kerosakan pam ekoran faktor banjir yang menenggalami loji rawatan air khususnya di Jempangah, bagaimanapun kita berharap ianya dapat diperbaiki segera selepas banjir agar masalah ketiadaan bekalan air bersih dapat diselasaikan segara, ” tambah Surinam.