SBH-MM2H gesa mesyuarat dengan MOTAC, KePKAS tangani isu lesen ejen

Jenny-Ngu.jpg

Jenny

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Persatuan Ejen MM2H Sabah (SBH-MM2H) menyokong pelancaran Program Sabah Rumah Keduaku yang menandakan langkah baharu meningkatkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pelancongan untuk jangka masa panjang.

Kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang mengutamakan pelantikan ejen dalam kalangan syarikat tempatan juga dipuji kerana memberi keutamaan kepada pengusaha pelancongan tempatan.

Presiden Persatuan Ejen SBH-MM2H Jenny Ngu berkata, pihaknya juga perlu mengadakan satu mesyuarat bersama pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Persekutuan (MOTAC) dan Kementerian Sabah Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) bagi menangani isu pengeluaran lesen yang menjejaskan ejen berlesen di Sabah.

“Kita memerlukan pertemuan ini bagi meminta MOTAC dan KePKAS mempercepatkan isu pelesenan dalam memastikan kesinambungan penyediaan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan SBH-MM2H.

“Pengeluaran lesen yang tertangguh juga menyebabkan gangguan terhadap pengoperasian harian, sebelum pandemik COVID-19 melanda, banyak ejen berlesen berjaya beroperasi, bagaimanapun penggantungan lesen menyebabkan banyak ejen menghentikan operasi.

“Pada masa ini, hanya 17 ejen berlesen kekal di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bercakap lanjut, Jenny berkata, ejen MM2H juga memerlukan lebih banyak lesen perlu diluluskan berikutan komitmen jangka panjang seiring konsep pelancaran program MM2H.

Katanya, antara perkhidmatan yang dilaksana melalui program ini termasuklah membantu pemohon warga asing masuk dan menilai kelayakan, menjalankan pemeriksaan kesihatan, mendapatkan insurans perubatan, menyediakan sokongan pendidikan untuk anak-anak mereka dan menawarkan perubatan serta bantuan perumahan.

“Lesen sah yang dimiliki oleh ahli diperlukan dalam usaha mengekalkan profesionalisme dan standard etika dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Pertemuan ini juga mampu memberikan pemahaman yang lebih jelas tentang impak dan potensi program, perkongsian data mengenai nombor permohonan, kadar kelulusan dan pandangan demografi membolehkan pihak berkepentingan menghargai sepenuhnya manfaat program dan mengenal pasti penambahbaikan, seterusnya memupuk kepercayaan dan kerjasama lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga menghargai sekiranya kronologi atau peristiwa penting program SBH-MM2H dilakukan bagi membolehkan pihak berkepentingan memahami secara menyeluruh tentang langkah-langkah yang perlu diambil, keputusan serta cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan program SBH-MM2H.

“Persatuan Ejen MM2H Sabah kekal komited terhadap pertumbuhan dan kejayaan program SBH-MM2H dan impak positif yang dibawanya kepada Sabah.

“Kita mengharapkan agar penyelesaian segera dan berkesan dapat dibuat terhadap isu ini bagi memastikan persatuan yang mewakili ejen berlesen khusus menyediakan perkhidmatan profesional dan beretika kepada pelanggan SBH-MM2H.

“Kita juga menyokong kejayaan pelaksanaan program SBH-MM2H di Sabah yang dilihat mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pertukaran budaya negeri,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top