PITAS: Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 yang kini di ambang pintu semua pihak Wanita,Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno perlu teliti dalam menyusun strategi dan gerak kerja parti agar lebih kemas dan tersusun untuk mencapai sasaran
Ketua Penerangan Umno Penerangan Umno bahagian Kudat Datuk Bolkiah Haji Ismail berkata, dalam hubungan ini satu koordinasi pergerakan tiga sayap parti ini perlu dicapai bagi mempastikan keberkesanan gerak yang lebih sistematik sebelum memasuki medan peperangan pilihan raya sebenar.
“Koordinasi ini perlu dibincangkan serta dimuktamadkan lebih awal, agar gerak kerja teratur, tidak ada pertindihan selain mengelak persediaan pada saat-saat akhir yang boleh merencatkan gerak kerja kempen,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusi mesyuarat penyelarasan Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas di pejabat Umno di sini baru-baru ini.
Hadir sama Setiausaha Umno bahagian Kudat Awang Lahaji Rokimin dan Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian Kudat Normalah Rasik.
Bolkiah yang juga Pengerusi Penyelaras Umno DUN Pitas berkata jika ada sebarang sistem baharu atau SOP yang ingin digunakan, ianya perlu laksanakan di peringkat awal dengan berkesan dan bukan pada saat akhir yang mengundang kerencatan gerak kerja.
“Kebersamaan perlu disusun di peringkat bahagian, cawangan dan pusat daerah mengundi. Jangan ada lagi yang bergerak secara solo. Tiga sayap utama parti perlu bekerjasama dan saling melengkapi,”ujarnya.
Beliau berkata semua pihak kepimpinan bahagian, wanita, pemuda, puteri dan ketua-ketua cawangan Umno bertanggungjawab menjadi agen perubahan yang mencorak pelan strategik yang lebih mampan dan dipersetujui bersama dalam memastikan pengurusan penyampaian perkhidmatan yang tangkas dan berprestasi cemerlang agar Umno terus diterima dan relevan sepanjang zaman.
Dalam pada itu Bolkiah turut mengingatkan ketua-ketua cawangan agar memulakan gerak kerja yang pantas dan efisyen terutamanya menyusun jawatankuasa di peringkat PDM serta mengenal pasti jumlah ahli yang berdaftar sebagai pengundi di cawangan masing-masing termasuk pengundi luar .
Pada majlis tersebut Bolkiah juga turut menyerahkan fail-fail kepada ketua-ketua Penyelaras Umno bagi kawasan DUN Pitas.
Berita asal: Jesselton Times