KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu Datuk Chan Foong Hin berkata beliau akan menerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk” sebagai menghormati Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.
Menurut The Star, Chan yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berkata beliau sedar sejak 2018, dasar partinya DAP menyatakan hanya ahli yang telah bersara dibenarkan menerima penghormatan daripada ketua kerajaan negeri dan negara.
Oleh itu, katanya, beliau bersedia untuk menghadapi apa sahaja keputusan parti berhubung isu beliau menerima PGDK daripada Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah itu.
Chan dan Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe, yang merupakan Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, adalah antara yang dikurniakan gelaran Datuk oleh TYT Yang di-Pertua Negeri di Istana Kinabalu di sini, hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas meninjau jualan beras di sebuah pasar raya di sini, Chan berkata sukar untuk beliau menolak anugerah itu.
“Saya menerima panggilan telefon daripada Istana pada Khamis, yang meminta saya menghadiri raptai pada Jumaat.
“Saya rasa bukan mudah untuk menolaknya memandangkan saya orang Sabah. Tawaran ini daripada TYT dan kerajaan negeri, jadi saya terima dengan ikhlas.
Chan berkata dia dan Phoong mempertimbangkan untuk menolak tetapi nama mereka telah pun diwartakan.
“Nama-nama itu sudah pun diwartakan, jadi kami rasa kami perlu menghormati keputusan dan syor kerajaan negeri Sabah.
“Saya kini menyerahkan kepada parti untuk memutuskan isu ini,” tambahnya.