ARAU: Datuk Seri Anwar Ibrahim berlapang dada sekiranya Pakatan Harapan (PH) enggan mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri selepas ini.
Pengerusi PH merangkap Presiden PKR berkata, tiada masalah baginya untuk melepaskan pencalonan itu memandangkan ramai lagi pimpinan muda dalam parti lebih berkelayakan untuk ditampilkan sebagai Perdana Menteri.
“Tiada sebab saya terlalu mengejar jawatan Perdana Menteri sekiranya PH berjaya memerintah negara. Ramai cakap saya gila nak jadi Perdana Menteri sedangkan semua orang tahu kalau saya nak jawatan itu, sejak 1999 lagi saya dah boleh jadi Perdana Menteri.
“Bukan susah pun, cium sahaja tangan orang tua itu (Tun Dr Mahathir Mohamad), selesailah. Namun, bukankah 15 Ahli Parlimen UMNO sebelum ini turut nyata sokongan kepada saya untuk jadi Perdana Menteri dan mereka turut mempersembahkan perkara itu kepada Yang DiPertuan Agong,” katanya ketika berceramah di Majlis Kenduri Rakyat di Kampung Mengkuang Layar, Tambun Tulang, pada Ahad.
Anwar yang menjadi calon PH bagi merebut Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini berkata, beliau mengambil pendirian tidak menandatangani dokumen sokongan berkenaan kerana enggan terperangkap dengan syarat ditetapkan UMNO.
“Ini disebabkan UMNO menetapkan syarat kalau saya nak jadi Perdana Menteri, saya kena selamatkan dulu kes mahkamah pemimpin mereka. Kalau saya ketagih sangat nak jadi Perdana Menteri, mesti saya dah tandatangan dokumen itu,” katanya.
Berita asal: BHarian