Saya Pun Boleh Jadi Calon PM Untuk GTA, Kata Ibrahim

ibrahim-ali.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Datuk Ibrahim Ali adalah watak yang mempunyai pesonanya tersendiri. Sejak pembabitannya dalam politik pada zaman pelajarnya, iaitu seangkatan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, anak kelahiran Tumpat itu kerap menjadi tumpuan, sama ada kerana kenyataan-kenyataannya, mahupun tindakan-tindakannya yang penuh warna. Ada ketikanya keras dan tegas, pada ketika yang lain pula sinis dan lucu.

Semalam misalnya, ketika bercakap di acara pengumuman calon-calon Gerakan Tanah Air (GTA) tokoh veteran itu menarik perhatian umum apabila berkata dia juga boleh menjadi calon perdana menteri.

Kata Ibrahim, selain pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, gabungan itu (GTA) tidak ketandusan pemimpin yang dapat mengetuai kerajaan.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu juga menyangkal dakwaan bahawa GTA ditubuhkan hanya untuk meneruskan agenda Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

“Sebab itu saya harap bila orang tanya apakah Tun (Mahathir) wujudkan GTA kerana nak jadi PM, anda (ahli dan calon GTA) jawab ‘ya, kalau keadaan memaksa, kalau negara terus malap dan jika tiada yang mampu baiki negara ini’.

“Kalau bukan Tun, ada pemimpin lain dalam GTA (seperti) anaknya Mukhriz.

“Lepas Mukhriz, ada Datuk Ibrahim Ali. Tun pernah cakap dulu kalau ada 10 orang Ibrahim Ali, selamat Malaysia,” katanya dalam acara di Bangi, Selangor.

Ketika acara itu, GTA yang dianggotai parti seperti Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman serta gabungan NGO Gabungan Bangsa mengumumkan nama 113 calonnya dalam PRU15.

Ibrahim dalam ucapannya turut menyindir Pengerusi PH Anwar berhubung usahanya untuk menjadi perdana menteri.

“Saya manusia kerdil. Rekod saya bersih, akhlak baik.

“Nama pula Ibrahim. Mungkin orang bapanya nama Ibrahim tak jadi perdana menteri, (orang) nama Ibrahim baru (boleh jadi),” selorohnya.

Ibrahim mula menjadi ahli parlimen pada 1986 apabila dia menang di Pasir Mas di bawah tiket BN.

Dia mengekalkan kemenangannya pada PRU 1990 di bawah tiket Semangat 46 tetapi kalah pada 1995 selepas menyertai semula BN.

Dia bertanding sekali lagi pada 1999 namun tewas kepada calon PAS. Dia kembali menjadi ahli parlimen Pasir Mas selepas bertanding di bawah tiket PAS pada 2008 dan mengekalkan kemenangannya pada PRU seterusnya.

Pada PRU 2013 dan 2018, dia bertanding sebagai calon bebas tetapi tewas – kedua-duanya di tangan PAS.

Pada PRU kali ini, dia akan bertanding di Parlimen Rantau Panjang – kali pertama di kerusi selain Pasir Mas sepanjang terlibat dalam politik.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top