Saya Malu Tak Dapat Buat Sebanyak Ebit Lew – Annuar

annuar-musa.jpg
Kongsi Bersama

SHAH ALAM: “Saya rasa malu sebab saya wakil rakyat, dan saya tidak dapat buat sebanyak yang dia buat,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas pendakwah bebas dan dermawan, Ebit Lew yang dilihat pantas melakukan kerja amal serta sumbangan.

“Dia (Ebit) bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi Semporna, Tawau dan pergi ke Kelantan dan jangan pula sampai ke kawasan (Parlimen) Ketereh nanti dia tengok apa benda yang saya tidak terbuat bagi rakyat saya.

“Saya bimbang. Jadi terus terang saya beritahu kepada pegawai saya, kalau boleh antara figura yang saya hendak jumpa ialah Ebit Lew.

“Hendak kongsi dengan dia, benda yang mungkin (atau) ada perkara yang boleh saya belajar daripada dia,” katanya ketika menjawab pertanyaan Shahril Sarapudin selaku moderator pada program Bicara Minda di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

“Mungkin saya berbeza pandangan sedikit, peranan NGO lain dan peranan kerajaan lain, tetapi dalam masa yang sama, kita (pemimpin) harus ada perasaan malu, bukan malu dalam bentuk yang negatif, malu positif.

“Ini kerana orang yang tiada kuasa macam beliau sanggup berbuat lebih, bagaimana kita orang yang ada kuasa, kita tidak berbuat cukup,” katanya.

Bagaimanapun, menteri itu berkata, tanggungjawab kerajaan tidak sama dengan tanggungjawab NGO kerana kerajaan juga perlu merangka dasar baik.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu mengadakan agenda dan program yang mungkin tidak dilihat rakyat sekarang, tetapi hasilnya akan dapat dilihat dalam jangka lebih panjang.

“Kalau ada sesuatu masalah kita turun dan selesaikan, itu pun penting, tapi sebagai kerajaan terutamanya, kita harus memikir jauh daripada itu.

“Jadi, kalau tidak nampak turun (padang) bukan bermakna kerajaan tidak berfungsi, tetapi lebih baik kalau kita menguruskan kerajaan dari segi pelaksanaan dasar baik, sementara kita juga terus menjadi sebuah kerajaan prihatin dan cakna kepada permasalahan rakyat.”

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top