Saya Kalah 3 Pilihan Raya Sebab Rakyat Tolak Pembangkang – Guan Dee

Guan-Dee.jpg

KOTA KINABALU: Timbalan menteri pelancongan yang baru dilantik Datuk Guan Dee Koh Hoi mempertahankan populariti dirinya dalam kalangan pengundi dengan berkata, beliau kalah dalam tiga pilihan raya lepas kerana rakyat Sabah menolak pembangkang.

“Pengundi tidak terima pembangkang.

“Betul saya kalah. Saya juga hilang wang pertaruhan,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau bertanding buat kali pertama pada 2004 sebagai calon Parti Demokratik Setiahati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah atau Setia.

“Ia adalah parti pembangkang,” katanya.

Katanya, pada pilihan raya umum 2008, beliau berjuang di bawah PKR, tetapi parti pembangkang itu masih lemah pada masa itu dan beliau sekali lagi hilang wang pertaruhan.

“PKR tidak memenangi satu kerusi pun di sini pada masa itu,” katanya.

Beliau kemudiannya bertanding di kerusi Parlimen Beaufort pada 2013 atas tiket Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), tetapi kalah.

“Namun selepas diberikan tanggungjawab sekarang, saya mahu menunaikan tugas di tangan,” katanya.

Pelantikan Guan Dee baru-baru ini dikritik keras selepas pembangkang mendakwa langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi kelangsungan politik Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun katanya, pelantikan beliau adalah untuk mengisi kekosongan jawatan yang wujud.

“Ia bagi mengisi kekosongan jawatan, bukan seperti yang dipertikaikan oleh sesetengah pihak kerana ia dibuat semasa pelaksanaan perintah darurat,” katanya kepada pemberita.

Senator itu berkata, banyak kerja yang harus dilakukan bagi membantu industri pelancongan yang terkesan teruk susulan penularan wabak Covid-19.

“Tanggungjawab telah diberikan dan kami (di Kementerian Pelancongan) akan bekerja keras bagi membantu Sabah dan negara merangsang sektor pelancongan,” katanya.

Beliau diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa pelantikannya merupakan sebahagian daripada strategi kelangsungan politik kerajaan.

“Itu pandangan beliau,” kata Guan Dee.

Beliau yang juga merupakan setiausaha agung STAR menambah bahawa mereka adalah sekutu Perikatan Nasional (PN) dan beliau mengisi kekosongan jawatan yang sebelum ini dipegang oleh presiden parti itu, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, yang dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah tahun lepas.

STAR menguasai enam kerusi penting di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Sekiranya parti itu keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah yang dipimpin oleh PN, kerajaan negeri bakal tumbang. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top