KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, tetap bertegas dengan pendiriannya untuk terus membantu kemenangan UMNO berbanding memberi sokongan kepada parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan iaitu DAP.
Beliau berkata, DAP disifatkan mampu menjaga diri sendiri kerana mereka mempunyai pengundi yang ramai dan tidak perlu risau mengenai parti berkenaan.
“Kawasan DAP tetap akan menang tanpa sokongan undi daripada UMNO. Jadi sebab itu saya akan fokus dan bantu kawasan calon UMNO bertanding kerana kita tidak mahu kalah dengan calon Perikatan Nasional (PN).
“Sesiapa yang nak marah dengan kenyataan saya, marahlah. Saya sangat konsisten dengan pendirian saya berkenaan DAP sejak dulu hingga sekarang.
“Dari dulu jika orang tanya adakah kita boleh bekerjasama dengan DAP, jawapannya adalah susah kerana ideologi mereka berbeza.
“Saya tak macam Tan Sri Annuar Musa, dulu kata tak mustahil untuk kita bekerjasama dengan DAP, tetapi sekarang ini dia hentam kita pula,” katanya dalam satu video di laman sosial Facebooknya, di sini, semalam.
Isham juga meminta jumlah pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dimaklumkan secepat mungkin untuk membuat persediaan awal supaya tidak terlewat.
Katanya, beliau tidak mengetahui berapa banyak kerusi diberi untuk setiap parti tetapi hanya mendengar khabar angin daripada akar umbi.
“Kita nak tahu awal untuk buat persediaan kerana jika pembubaran berlaku dalam tempoh terdekat, kita tidak ada masa.
“Saya nak bantu UMNO menang kerana UMNO tidak boleh terkubur.
“PN pula menetapkan sasaran akan bertanding di setiap kawasan calon UMNO bertanding kerana ingin lihat kekalahan.
“Jika kita kalah lagi, bermakna berapa kali sudah kita kalah,” katanya.
Mengulas kehadiran pemimpin DAP dan parti komponen lain pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini, beliau berkata:
“Anggap saja mereka sebagai tetamu yang berkunjung ke rumah ketika hari raya,” katanya. – BHarian