“Saya hanya makan gaji bukan pemilik syarikat PDP Borneo Highway” – Shahelmey

shahelmey-1.jpg

Shahelmey (kanan) di DUN Sabah hari ini.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya menjelaskan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah hari ini bahawa beliau bukanlah pemilik syarikat Rakan Penyampai Projek (PDP) Borneo Highway PDP Sdn Bhd yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan 35 pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah antara 2016 hingga 2019.

Sebaliknya, menurut beliau, syarikat berkenaan adalah usaha sama dengan beberapa syarikat lain iaitu Warisan Tarang Construction Sdn Bhd, UEM Group Bhd dan MMC Corp Bhd.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah membuat penjelasan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) mengenai siapakah pemilik syarikat PDP itu ketika sesi perbahasan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang menyebut isu pembatalan PDP ketika Warisan memerintah Sabah sebelum ini.

“Untuk menjelaskan berkaitan syarikat ‘Project Delivery Partner’ (PDP) yang melaksanakan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, ia bukan milik saya sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan.

“Ia cuma satu usahasama sebuah syarikat dari Sabah iaitu Warisan Tarang Construction Sdn Bhd yang bekerjasama dengan UEM Group Bhd dan MMC Corp Bhd,” katanya.

Shahelmey berkata, ketika syarikat PDP itu masih beroperasi, beliau hanya menjalankan tugas sebagai seorang pengarah urusan iaitu daripada 2016 hingga 2018.

“Saya pada waktu itu, iaitu antara 2016 sehingga 2018, hanyalah seorang pengarah urusan yang makan gaji,” katanya.

Syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd dilantik sebagai PDP untuk menyelaras pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bermula pada 2016 sebelum khidmatnya ditamatkan pada 2019 oleh kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Sebelum ini, Shahelmey menjelaskan, penamatan khidmat PDP adalah antara punca kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sehingga kini belum lagi siap.

Shahelmey menganggap tindakan itu salah kerana penamatan perjanjian PDP bermakna, model kewangan untuk membiayai perbelanjaan bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo juga ditamatkan.

Katanya, ia menyebabkan hanya 15 pakej dapat dilaksanakan daripada 35 pakej keseluruhannya manakala baki 20 pakej ditangguhkan sehingga kelulusan semula pada 2023.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top