Saya Bukan Menteri Pertahanan Ketika Itu – Zahid

zahid-1.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang telah menyebabkan kegagalan pembekalan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) perlu memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tidak wajar kegagalan itu dikaitkan dengannya kerana beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu dianugerahkan.

“Saya memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013.

“Jadi mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC.

“(Ia bagi) menyokong penuh pendedahan kelewatan ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Khamis lalu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Ahmad Zahid akan dipanggil badan itu awal bulan depan, bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan pembekalan enam LCS bernilai RM9 bilion.

Turut akan dipanggil pada prosiding PAC ialah bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek kapal LCS Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.

Menurut Kah Woh, pelantikan BNS dilakukan secara rundingan terus dan sehingga Oktober lalu, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar, dan tiada sebuah kapal LCS siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS siap dibina setakat ini.

Isu itu dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/ Jabatan Persekutuan) dan Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), diterbitkan pada 2019.

Menurut Ahmad Zahid, LCS yang dibina oleh BNS merupakan anak syarikat Boustead Holdings Bhd, yang mana pemegang saham terbesar adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Merujuk laporan audit dari PAC, kontrak kepada Boustead adalah mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus bertarikh 17 April 2002.

“Secara jelas ia tiada kaitan dengan saya, malah LTAT sendiri menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan LCS itu,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid sedia memberi keterangan mahupun penjelasan kepada PAC bagi melengkapkan prosiding itu dalam masa terdekat.

“Saya sedia menjadi saksi apabila dipanggil oleh PAC berhubung kegagalan pembekalan enam LCS yang bernilai RM9 bilion itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top