Saya Belum Terbuka Hati Sertai Mana-Mana Parti – Masiung

masiung-1.jpg
Kongsi Bersama

TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Datuk Masiung Banah bertegas, beliau belum mengambil sebarang keputusan menyertai mana-mana parti politik walaupun dikaitkan dengan penubuhan sebuah parti baharu Sabah.

”Terdapat tawaran daripada beberapa parti tempatan dan nasional, malah ada parti tempatan yang menawarkan ke jawatan timbalan presiden dan naib presiden (dilantik) namun saya masih belum terbuka hati, ” ujarnya.

Masiung berkata demikian, semasa merasmikan Majlis Amanat ADUN Kuamut di Dewan Majlis Daerah Tongod, petang kelmarin

Sebelum ini bertiup spekulasi ADUN Bebas itu bakal menyertai sebuah parti tempatan selain turut dikhabarkan menyertai parti nasional pro kerajaan.

“Setakat ini saya masih ADUN Bebas yang menyokong kerajaan dan belum berminat menyertai mana-mana parti sebagai platform politik saya.

“Saya tidak akan mengambil keputusan secara tergesa-gesa, melainkan setelah membuat pendekatan yang matang terlebih dahulu.

” Tunggulah… sampai masanya nanti saya akan buat pengumuman secara rasmi, ” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB).

Masiung berkata, sebagai penyokong kerajaan beliau lebih fokus untuk membantu membangunkan halatuju Sabah Maju Jaya selain tumpuan kepada tugas hakiki yang diamanahkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada majlis itu, beliau mengingatkan pegawai dan kakitangan kerajaan di daerah itu supaya memainkan peranan aktif membantu masyarakat yang memperlukan khidmat mereka.

Lebih 600 pegawai dan kakitangan kerajaan termasuk pemimpin masyarakat hadir pada majlis tahunan itu.

Pegawai Daerah, Haji Mohd Fauzi Norbeh bersama ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan turut hadir di majlis tersebut.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top