KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya, mengaku belum membuat sebarang keputusan sama ada beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), lapor BHarian.
Menurut laporan itu, Shahelmey berkata, beliau memahami risiko yang bakal dihadapinya jika bertanding pada pilihan raya itu, terutama kesan ke atas kerusi Parlimen Putatan yang disandangnya sejak November 2022.
“Saya faham dan sentiasa menerimanya dengan hati terbuka. Namun setakat ini, saya belum membuat sebarang keputusan (berhubung perkara itu). Saya akan membuat keputusan bila tiba masanya kelak,” katanya kepada akhbar itu semalam.
Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga ADUN Tanjung Keramat itu mengulas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bahawa Shahelmey perlu mengosongkan kerusi Parlimen Putatan yang sedang disandangnya, jika berhasrat untuk bertanding pada PRN17 nanti.
Bung Moktar dipetik berkata, tindakan itu perlu jika Shahelmey yang kini digantung keahlian dalam UMNO, mahu bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.
Shahelmey memenangi kerusi DUN Tanjung Keramat pada PRN16 dan kerusi Parlimen Putatan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas tiket Barisan Nasional (BN) sebagai wakil UMNO.
Persoalan mengenai kedudukan kerusi Parlimen Putatan timbul berikutan Shahelmey kini digantung oleh UMNO dan tidak mungkin dicalonkan semula untuk mewakili parti itu pada PRN17.
Ini bermakna Shahelmey perlu bertanding atas tiket Bebas atau parti lain tetapi tindakan itu bertentangan undang-undang antilompat parti, sekali gus bakal menyebabkan kerusi Parlimen disandangnya yang masih dianggap milik UMNO/BN itu diisytiharkan kosong.
Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, beliau menyedari senario akan berlaku itu berikutan wujud akta antilompat parti yang berkuat kuasa ketika ini.
“Kenyataan Bung Moktar itu adalah berdasarkan senario yang boleh terjadi pada PRN17 nanti berdasarkan akta antilompat parti,” katanya.