Sawit Kinabalu Tanam Lebih 36,000 Pokok Setakat Jun

sawit.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Sehingga Jun tahun ini, Sawit Kinabalu telah menanam lebih 36,000 pokok di negeri ini sebagai menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Agenda Penghijauan Malaysia 2021-2025.

Pengawal Penasihat Perladangan dan Pertanian Kumpulan Sawit Kinabalu, Khairul Azhan Othman berkata, selain aktiviti harian kumpulan itu, usaha penanaman pokok berkenaan juga akan diperhebat dalam memelihara dan memulihara alam.

“Bagi Sawit Kinabalu sendiri, kita juga telah memulakan Inisiatif ini sejak 2003 lagi dengan menanam 700 pokok sebagai permulaannya,” jelasnya.

“Manakala menerusi unit konservasi dan biodiversiti, kita juga komited untuk memastikan usaha konservasi di negeri ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” tambahnya.

Beliau berkata demikian sejurus merasmikan Program Hari Alam Sekitar Sedunia Anjuran Unit Konservasi Dan Biodiversiti Sawit Kinabalu Sg Pin Kinabatangan, anjuran Sawit Kinabalu dan Jabatan Perhutanan Sabah di Pejabat Unit Konservasi Dan Biodiversiti Sawit Kinabalu Sg Pin Kinabatangan, di sini, pada Rabu.

Khairul mewakili Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Kelestarian Kumpulan Sawit Kinabalu, Nazlan Mohamad, Pengurus Konservasi dan Biodiversiti Sawit Kinabalu, Charis Saliun.

Turut hadir, Pegawai Perhutanan Wilayah Sandakan, Jurimin Ebin, Pegawai Perhutanan Daerah Kinabatangan, Jamain Alias, Pegawai Hidupan Liar Daerah Kinabatangan, Sylvia Alsisto, Guru Besar SK Batu Putih, Emran Sumanggil dan Guru Besar SK Paris 1, Salleh Jahaya serta rakan konservasi Sawit Kinabalu daripada WWF-Malaysia, Orang JUGA, KOPEL Bhd dan BORA.

Pada program itu, sebanyak 519 anak pokok telah ditanam bersama hadirin dan pelajar sekolah itu.

Ia termasuk 419 pokok pelbagai spesis sumbangan Jabatan Perhutanan Sabah dan 100 pokok ara sumbangan BORA.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Sawit Kinabalu juga komited dalam penggunaan baja kompos mesra alam menerusi bahan buangan ternakan, iaitu kira-kira 13,000 ekor lembu jenis ‘black gold’.

Manakala dalam menghadapi dan mengurangkan serangan penyakit kelapa sawit, produk Sawit Shield keluarannya juga kini sedang digunakan dengan sumber organik dan akan dipasarkan kelak.

Sementara itu, Jurimin berkata, menerusi Kempen Penghijauan Malaysia, Sabah telah diberi sasaran 40 juta pokok untuk ditanam sepanjang tempoh lima tahun itu.

Setakat ini, ia telah menanam lebih kurang 12 juta pokok.

Bagi bahagian perladangan pula, jelasnya, Sawit Kinabalu adalah penyumbang terbesar kepada bilangan pokok yang ditanam di negeri ini dan sudah mencapai 36,175 pokok sehingga Jun tahun ini.

Sawit Kinabalu juga merupakan pelopor kepada sumbangan penghijauan di Sabah selain pihak sekolah, agensi kerajaan, pemegang lesen FMU dan yang lain.

“Usaha masih lagi diteruskan untuk melaksanakan program penanaman pokok bagi membantu dalam mencapai sasaran tersebut,” jelasnya.

Bagi Kinabatangan dan Sandakan, ia sudah menanam kira-kira 3,000 pokok yang melibatkan pihak sekolah dan juga kakitangan jabatan.- Harian Ekspress

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top