Satu Lawan Satu di Kinabatangan, ‘Kawan’ Lawan ‘Kawan’ di Beluran dan Ranau

Bung-Mazliwati.jpg

Bung dan Mazliwati.... satu lawan satu di Kinabatangan.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerusi Parlimen Kinabatangan menjadi satu-satunya kerusi di Sabah – dan salah satu daripada sembilan kerusi di Malaysia – yang menyaksikan pertandingan dua penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi itu, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin akan dicabar oleh calon Warisan Mazliwati Abdul Malek.

Mazliwati, seorang peguam adalah anak kepada aktivis politik terkenal, Allahyarham Datuk Abdul Malek Chua.

Pada mulanya Warisan menamakan Datuk Ismail Ayob sebagai pencabar Bung di kawasan parlimen tersebut, namun perubahan pada saat-saat akhir menyaksikan Mazliwati mengambil alih tugas itu.

Selain Kinabatangan, 10 kawasan lain akan menyaksikan pertandingan lima penjuru, tujuh pertandingan enam penjuru, empat bagi pertandingan empat penjuru dan tiga lagi pertandingan tiga penjuru.

Dua pertandingan bersifat ‘friendly fire’ atau pertembungan sesama sendiri turut terjadi pada PRU ini, iaitu di Beluran dan Ranau.

Persepakatan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN Sabah menyaksikan Beluran diserahkan kepada BN, manakala Ranau pula kepada GRS.

BN menurunkan bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Benedict Asmat untuk bertanding di Beluran, manakala GRS mempertaruhkan Datuk Jonathan Yasin di Ranau.

Ronald Kiandee (kiri) dan Ewon Ebin.

Tetapi kejutan berlaku apabila penyandang kerusi Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang merupakan Naib Presiden Bersatu, komponen utama GRS, bertindak menawarkan dirinya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) – menjadikan beliau satu-satunya calon di Sabah yang menggunakan tiket gabungan tersebut.

Di Ranau pula Ketua Penyelaras Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kawasan parlimen itu, Datuk Ewon Ebin turut bertanding menentang calon GRS – tindakan yang dikesali dan tidak mendapat restu BN Sabah.

Perkara lain yang menghangatkan suhu politik Sabah pada PRU15 ini termasuklah insiden rusuhan kecil di Pusat Penamaan Calon Parlimen Tenom, yang berpunca dari tidak puas hati penyokong-penyokong parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) apabila pencalonan presiden mereka, Datuk Peter Anthony ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

Komen

Kongsi Bersama
scroll to top