SAS Umum Pendapatan Bersih Berjumlah RM17,345,222

saham-sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Saham Amanah Sabah (SAS) mengumumkan berjaya memperolehi pendapatan bersih sejumlah RM17,345,222 setakat at 31 Mei 2023.

Pengerusi Saham Sabah Berhad Datuk Rusdin Riman berkata, pengagihan pendapatan interim pertama SAS untuk tahun 2023 adalah pada kadar 1.25 peratus atau 1.25 sen se unit bersih.

“Jumlah ini menghasilkan kadar pulangan pendapatan sebanyak 4.43 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih SAS pada 2 Januari 2023, iaitu RM0.2820 dengan membabitkan pembayaran wang tunai sejumlah RM16,850,900 bersih berdasarkan kepada bilangan unit-unit SAS yang dipegang oleh para pelabur sebanyak 1,348,072,000.

“Pendapatan ini adalah diperolehi daripada sumber pelaburan SAS dalam pasaran saham (84.88 peratus), penerimaan dividen (8.41 peratus) dan pasaran kewangan (6.71 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun keadaan pasaran saham global yang tidak menentu dan aktiviti ekonomi yang lemah, pihaknya amat berbesar hati dapat mengistiharkan pengagihan pendapatan Interim Pertama 2023 kepada pelabur SAS yang setia serta dihargai.

Katanya, prestasi positif ini dapat dicapai melalui pengurusan kewangan secara berhemat dan mengamalkan strategi pelaburan yang betul.

“Pengagihan Pendapatan interim ini akan dibayar kepada 48,228 pelabur terdiri daripada 40,782 (84.56 peratus) pelabur individu, 7,317 (15.17 peratus) pelabur di bawah skim Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), 83 (0.17 peratus) adalah pelabur melalui pinjaman bank dan 46 (0.10 peratus) pelabur korporat.

“Selama beroperasi 29 tahun, termasuk pengagihan pendapatan interim ini, SAS telah mengagihkan pendapatan tunai sebanyak 25 kali yang melibatkan pembayaran sejumlah RM724,644,926.60 atau 97.02 sen se unit atau 97.02 peratus, termasuk satu pengagihan berbentuk unit pelaburan semula pada kadar 0.40 sen se unit (0.40 peratus),” katanya.

Menurutnya, Saham Sabah Berhad selaku pengurus Skim SAS akan terus berusaha untuk menjana pulangan yang berpatutan selaras dengan objektif pelaburannya.

“Saya juga ingin menjemput bakal-bakal pelabur dan pelabur sedia ada terutamanya agensi kerajaan negeri yang mempunyai kecairan untuk melabur, tampil ke hadapan memandangkan masih ada lagi unit SAS yang boleh dilanggan,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top