KUCHING: Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah digesa agar terus membahaskan tuntutan komposisi satu pertiga kerusi Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat seperti yang termaktub semasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Utusan Malaysia dalam laporannya hari ini memetik Pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS), Wellie Henry Majang sebagai berkata, tuntutan itu wajar bagi mengembalikan hak berkenaan yang terhakis semasa Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965.
“Ini adalah “safeguard” yang telah dipersetujui sejak dalam perundingan penubuhan Malaysia lagi, dan memang ini merupakan komposisi yang telah termaktub di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menyatakan bahawa dahulu sebelum Singapura keluar dari Malaysia, komposisi kita sepatutnya satu pertiga di dalam Parlimen.
“Kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Semenanjung perlu diterjemahkan melalui peruntukan perbelanjaan dan agihan kerusi Parlimen yang lebih adil dan seimbang berbanding sebelum ini,” katanya kepada Utusan.
Kata Henry lagi, berdasarkan situasi ketika ini, agihan peruntukan diterima Sarawak dan daripada Kerajaan Persekutuan, tidak menggambarkan nilai yang adil.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) peruntukan berjumlah RM4.47 bilion telah diagihkan untuk Sarawak, dan daripada peruntukan tersebut hanyalah 6.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan negara di bawah RMK-12.
“Peruntukan tersebut disifatkan rendah berbanding dengan keperluan negeri ini untuk mempercepatkan serta merapatkan jurang pembangunan,” ujar beliau.
Justeru, kata Henry peruntukan dibawah RMK-12 ini jelas tidak mencerminkan keperluan Sarawak dengan mengambil kira keluasan geografi, tahap pembangunannya serta statusnya sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia.
Baca seterusnya di: Utusan Malaysia